
Burhanuddin Md Radzi, pengarah urusan syarikat yang juga pencipta watak Upin dan Ipin, mendedahkan nama Les’ Copaque lebih bererti “last kopek” – ungkapan kolokial bagi menggambarkan cubaan terakhir untuk mencapai kejayaan.
“Last kopek…kerana saya pilih bidang animasi ini sebagai usaha terakhir untuk mencipta kejayaan tersendiri,” kata Burhanuddin yang sebelum itu bekerja dalam industri cari gali minyak dan gas.
“Tapi saya sengaja namakan syarikat ini Les’ Copaque supaya ‘berbunyi international’ demi kepentingan bisnes,” kata beliau kepada FMT sambil tersenyum.
Apa pun, “last kopek” Burhanuddin berhasil. Siri animasi kembar berkepala botak, Upin dan Ipin “meletup”, menjadi rancangan sensasi di tanah air sejak disiarkan lebih 15 tahun lalu.
Ia juga ditayangkan di beberapa negara lain, termasuk Indonesia, Brunei, United Kingdom, Australia dan menembusi pasaran India. Susulan itu, Taman Tema Upin dan Ipin yang bertaraf antarabangsa akan mula dibina di Cyberjaya pada Januari depan. Projek bernilai RM400 juta itu dijangka siap pada 2025, kata Burhanuddin.

Upin dan Ipin juga mempunyai 16.1 juta langganan di YouTube dan menjadi saluran pertama di Malaysia meraih “Diamond Play Button” dengan lapan bilion tontonan setakat 2020.
Laman Facebook Upin dan Ipin, Les’ Copaque juga mendapat 15 juta “likes”.
Burhanuddin berkata, isterinya memainkan peranan amat penting dalam mencorakkan karektor Upin dan Ipin, sungguh pun tiada kelayakan profesional dalam industri animasi mahupun perfileman.
Anehnya, stesen televisyen tempatan, TV9 membeli rancangan animasi itu, bukan di tanah air, tetapi di Perancis. Burhanuddin membawa klip video Upin dan Ipin ke Festival Filem Cannes pada 2006.

“Saya balik (ke Malaysia), saya cakap dekat pekerja, kita berhenti sekejap buat filem, kita buat ini (animasi Upin dan Ipin). Isteri saya kata, kita ambil dua watak budak tu (Upin dan Ipin), kita buat cerita mereka berpuasa.
“Saya dan isteri saya tulis (skrip). Itulah enam episod pertama Upin dan Ipin. Tahun 2007 (animasi) dimainkan (tayang) di TV9 (dan ia) meletup. Bila meletup, saya percaya kita boleh teruskan projek filem (animasi) itu,” katanya.
Kenapa Upin Ipin botak?
Burhanuddin memberitahu watak Upin dan Ipin sengaja ditampilkan dengan imej berkepala botak kerana proses mewarnakan rambut (rendering) agak mahal, manakala nama Upin dan Ipin pula diilhamkan daripada U dan I (awak dan saya), sebelum diputuskan menjadi ‘Upin dan Ipin’.
Bapa kepada empat anak itu boleh berbangga apabila beliau menubuhkan Kolej Animasi Les’ Copaque di Shah Alam yang lengkap dengan kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 2015.
Kolej itu memastikan negara tidak akan ketandusan sumber kepakaran untuk produksi animasi, selain mampu menghasilkan filem atau rancangan animasi bermutu tinggi.
Siapa main watak Tok Dalang dan Opah?
Burhanuddin yang meyumbang suara untuk watak Tok Dalang dalam siri animasi popular itu cukup bertuah apabila isterinya, Ainon Ariff begitu mahir mengolah cerita sehinggakan siri Upin dan Ipin bukan hanya diminati dalam kalangan kanak-kanak, bahkan menjadi kegemaran ibu bapa.
Malah, Ainon sendiri menyumbang suara untuk watak Opah kepada pasangan kembar kesayangan ramai itu.
“Skrip tak sedap pun akan jadi sedap. Itu bakat dia, anugerah Tuhan. Dia tak pernah belajar, tapi sampai sekarang dia masih handal,” ujarnya yang baru menerbitkan buku “Bila Atok Ranggi Berbicara” – mengenai jatuh bangunnya sejak menubuhkan Les’ Copaque Production.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram