HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Parti tunggal berbilang kaum hanya mimpi indah, kata ahli akademik

-

Penganalisis berkata perbezaan ideologi dan ketidaksamaan pengaruh antara parti komponen yang berbeza akan menghalang pembentukan parti tunggal berbilang kaum.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Gerakan merupakan contoh awal pendekatan berbilang kaum yang menyaksikan kejayaan awal di Pulau Pinang tetapi ia terpaksa menyertai pakatan pemerintah untuk terus hidup. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA:
Tiga ahli akademik melihat halangan dalam satu parti berbilang kaum, seperti yang dicadangkan oleh pengarang politik Lim Teck Ghee untuk menamatkan politik berdasarkan kaum dan agama.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, mengakui parti sebegitu mampu memberikan kestabilan politik kerana struktur kepimpinannya yang kurang rumit berbanding gabungan yang sentiasa ada satu parti dominan.

“Dalam Barisan Nasional (BN), ia Umno dan dalam Pakatan Harapan (PH), ia PKR dan kadangkala DAP,” katanya.

Azmi berkata perbezaan ideologi dan ketidaksamaan pengaruh antara parti komponen yang berbeza akan menghalang pembentukan parti tunggal berbilang kaum.

Katanya, PKR adalah yang paling hampir dengan idea itu tetapi masih belum membuktikan dirinya bebas daripada PH.

Pada pilihan raya negeri (PRN) tahun lepas, PKR bertanding menggunakan logonya sendiri dan hanya berjaya memenangi kerusi Bukit Batu dengan margin yang paling kecil.

Tajuddin Mohd Rasdi dari UCSI University, berkata satu parti berbilang kaum tidak akan mewujudkan perpaduan kerana sokongan akar umbi kepada Umno dan PAS masih sangat kuat.

Sebaliknya, apa yang diperlukan ialah parti Melayu yang progresif dengan unsur keagamaan untuk memberikan naratif yang lebih moden dan sederhana bagi menentang Umno dan PAS.

“Satu parti berbilang kaum adalah mimpi yang indah. Bagaimanapun, politik Malaysia adalah begitu sehingga orang Melayu hanya akan mengikut pemimpin Melayu,” katanya.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania, berkata mengharapkan parti ini dibubarkan sama seperti meminta mereka melepaskan ‘raison d’être’ (alasan kewujudan) mereka.

“Ia bagus dari segi teori tetapi dalam praktiknya ia tidak boleh berfungsi kerana setiap parti mono-etnik ini mempunyai ideologi khusus mereka yang mempromosikan kaum mereka sendiri. Itulah sebabnya mereka wujud pada mulanya, “katanya.

Tambahnya, cubaan mewujudkan parti tunggal berbilang kaum sebelum ini, seperti PPP dan Gerakan, tidak berjaya.

Chin juga berkata dasar kerajaan yang memberikan keistimewaan kepada rakyat Malaysia berdasarkan status Bumiputera dan bukan Bumiputera adalah punca rakyat Malaysia kekal berpecah-belah dan menyebabkan parti politik terlibat dalam perkauman dan agama.

Pada Ahad, Lim mencadangkan parti komponen dalam satu gabungan dibubarkan untuk menubuhkan sebuah parti berbilang kaum kerana satu gabungan tidak akan dapat menyatukan rakyat Malaysia.

Satu parti berbilang kaum boleh menjadi pengubah kepada keadaan politik semasa di Malaysia yang menurutnya, berakarkan kaum dan agama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.