HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Kerajaan fail notis rayuan kes Zahid

-

Peguam Negara Idrus Harun berkata pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan presiden Umno daripada 40 tuduhan rasuah, pada 23 Sept.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Ahmad Zahid Hamidi dibebaskan daripada 40 tuduhan rasuah selepas mahkamah memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes terhadapnya.

PETALING JAYA:
Pejabat Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan bekas menteri dalam negeri, Ahmad Zahid Hamidi, daripada 40 tuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat untuk melanjutkan kontrak sistem visa luar negara (VLN).

Peguam Negara Idrus Harun, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

“Ya, pendakwaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes DS Zahid (Ahmad Zahid) petang ini,” katanya menurut Bernama.

Pada 23 Sept, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Yazid Mustafa membebaskan Zahid, 69, yang juga presiden Umno, selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Dalam penghakimannya, Yazid berkata, tiga saksi utama pendakwaan tidak boleh dipercayai.

Beliau juga berkata, mereka memberi keterangan bahawa wang telah dimasukkan ke dalam sampul berwarna coklat pada setiap kali penghantaran, namun pendakwaan tidak mengemukakan sebarang sampul sebagai bukti.

“Tiada bukti dikemukakan untuk menunjukkan saiz sampul yang digunakan. Saya tidak boleh bayangkan sampul surat apa dan saiznya yang boleh memuatkan wang tunai sebanyak SGD600,000 bersamaan kira-kira RM1.6 juta pada masa yang material,” katanya.

Zahid didakwa atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai menteri dalam negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta mengekalkan perjanjian kontraknya dengan Kementerian Dalam Negeri bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai SGD1,150,000, RM3.125 juta, 15,000 Swiss Franc and USD15,000 daripada syarikat sama yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesemua kesalahan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya serta Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.