
Hee berkata, kelulusan sebanyak 19 kawasan kuari baharu adalah bagi menggantikan kuari lama yang akan tamat tempoh operasinya dalam masa terdekat mulai tahun depan.
“Bagi tempoh 1992 sehingga 2000, sebanyak tujuh kawasan aktiviti kuari telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) membabitkan keluasan 215.64 hektar di Hutan Simpan Bukit Lagong.
“Pada 2018 dan 2019, sejumlah 19 kawasan kuari dengan keluasan 800.50 hektar telah diluluskan di hutan simpan yang sama,” katanya dalam kenyataan.
Hee berkata, berdasarkan rekod, seluas 28% daripada keseluruhan Hutan Simpan Bukit Lagong dibangunkan bagi tujuan kuari dan kesemua kelulusan diproses mengikut prosedur ditetapkan.
Katanya, kelulusan itu juga dikeluarkan bagi tujuan menampung keperluan bahan batuan bagi pembangunan di Selangor dan di Lembah Klang.
Kenyataan itu sebagai respon kepada dakwaan isu kuari baharu di Hutan Simpan Bukit Lagong susulan artikel disiarkan di media sosial.
Hee berkata, penetapan jalan pengeluaran kuari terbabit adalah ditentukan berdasarkan kajian dan perbincangan bersama semua pihak yang terlibat dan segala aspek diambil kira termasuk tidak menjejaskan penempatan perkampungan Orang Asli.
“Setiap operasi pengkuarian dalam kawasan hutan simpanan adalah mematuhi semua syarat ditetapkan jabatan teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) melibatkan tempoh sebelum dan semasa operasi dijalankan.
“Tambahan pula, pelaksanaan dan kelulusan penilaian kesan kepada alam sekitar (EIA) dan Laporan Skim Kuari adalah diwajibkan sebelum sebarang aktiviti dimulakan,” katanya.
Beliau berkata, pemantauan secara bersepadu oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) dan agensi yang berkaitan juga sentiasa dilaksanakan bagi memastikan tiada sebarang perlanggaran syarat atau peraturan berlaku.
Sebagai tambahan katanya, keluasan hutan simpan di negeri Selangor sejak 2008 hingga kini telah meningkat sebanyak 3.5% iaitu daripada 241,568.30 hektar pada tahun 2008 kepada 250,250.33 hektar pada 2021 iaitu pertambahan sebanyak 6,862 hektar.
Dalam pada itu, Hee berkata JPNS menafikan penglibatan agensi itu dengan iklan penjualan lot tanah kuari seperti disiarkan dalam laman web EdgeProp.
Katanya, semua kelulusan kuari diberikan secara lesen kecil selaras dengan Seksyen 28, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 dan status tanah di kawasan berkenaan masih lagi kekal sebagai hutan simpan.
Terdahulu sebuah NGO, Projek Pendedahan Rimba (RDP) mendedahkan, 27 kawasan di Hutan Simpan Bukit Lagong yang akan diteroka sebagai kuari baharu dan salah satu syarikat adalah GLC kerajaan negeri.
Malaysiakini pada Selasa melaporkan, RDP mendapati lebih banyak kawasan iaitu seluas 887 hektar atau 1,657 padang bola, akan ditebang untuk memberi laluan kepada kuari.
RDP turut mendakwa, tanah Hutan Simpan Bukit Lagong dijual pada harga RM150,000 seekar menerusi laman web EdgeProp.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram