Khutbah Jumaat tak patut sentuh politik

Khutbah Jumaat tak patut sentuh politik

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata isu mengandungi kepartian tertentu tidak sepatutnya berlaku dalam khutbah Jumaat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata khutbah Jumaat bertujuan merungkaikan soalan berbangkit dalam masyarakat bukan digunakan bagi tujuan kempen parti tertentu. (Gambar Facebook)
KOTA BHARU:
Khutbah Jumaat yang menyentuh isu politik terutama dilihat condong ke arah kepartian tertentu tidak sepatutnya berlaku di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary.

“Jika isu membabitkan politik yang berat sebelah (bias) kepada kepartian parti tertentu ia tidak sepatutnya berlaku dalam khutbah Jumaat.

“Khutbah Jumaat adalah untuk merungkaikan soalan berbangkit dalam masyarakat kita. Tetapi sekiranya digunakan untuk tujuan kempen parti tertentu yang tidak ada maslahah umum kepada masyarakat ia tidak dibenarkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian program Hari Sayidatina Khadijah peringkat Parlimen Pengkalan Chepa di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (Putik).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai warga maya yang mempersoalkan ada masjid yang didakwa memasukkan isu politik dalam khutbah Jumaat.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk menegaskan perkara itu akan diserahkan untuk tindakan kerajaan negeri masing-masing bagi penelitian lebih lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.