HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Harga maksimum ayam, telur kekal

-

Bagi Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan, harga maksimum ayam dan telur berbeza mengikut zon dan daerah.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Harga maksimum runcit telur ayam bagi gred A ditetapkan pada 45 sen/biji, gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) di Semenanjung Malaysia.

PUTRAJAYA:
Kerajaan menyambung tempoh pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam berkuat kuasa hari ini, dengan harga maksimum ayam serta harga runcit telur ayam dikekalkan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Mohd Yusof berkata, Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam itu disambung dengan kadar baharu pemberian subsidi kepada telur ayam sebanyak RM0.08 sebiji kepada peladang.

“Ini berpunca daripada kenaikan kos pengeluaran dan menyebabkan keperluan penyelarasan semula harga telur ayam di peringkat ladang dan borong, untuk membolehkan harga runcit telur ayam dikekalkan tanpa sebarang kenaikan.

“Harga maksimum ayam pula kekal bagi semua peringkat meliputi ladang, borong dan runcit,” katanya dalam kenyataan.

Menerusi Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam, harga maksimum runcit ayam untuk Semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard ditetapkan pada RM9.40 sekilogram, manakala ayam super pada RM10.40 sekilogram.

Harga maksimum runcit telur ayam bagi gred A ditetapkan pada 45 sen/biji; gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) di Semenanjung Malaysia. Bagi Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan, harga maksimum ayam dan telur berbeza mengikut zon dan daerah.

Azman berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bekerjasama dengan KPDNHEP dalam membuat pemantauan bagi memastikan bekalan barangan sentiasa mencukupi dan harganya kekal stabil.

Katanya, seramai 2,249 penguat kuasa digerakkan ke lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya di seluruh negara untuk melakukan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari.

“Ini bagi memastikan setiap peniaga mematuhi undang-undang, selain memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menjual barang harga terkawal, termasuk ayam dan telur ayam melebihi harga yang ditetapkan kerajaan.”

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya mana-mana pihak didapati gagal mematuhi peraturan di bawah Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.