
Timbalan pengerusi parti, Bakhtiar Wan Chik mendakwa penyandangnya, Mansor Othman tidak mendapat sokongan akar umbi untuk membantunya mempertahankan kerusi itu.
Ahli Parlimen tiga penggal itu, yang sebelum ini bersama PKR, berpaling tadah kepada Bersatu pada 2020.
Selain Mansor, wakil PKR Pulau Pinang lain yang berpaling tadah kepada Bersatu termasuk ADUN Sungai Acheh Zulkifli Ibrahim dan ADUN Seberang Jaya Dr Afif Bahardin.
Sungai Acheh ialah salah satu kerusi DUN di Nibong Tebal.
“‘Katak-katak’ itu tidak sekuat seperti semasa mereka dalam PKR kerana kekuatan itu datang daripada akar umbi parti,” kata Bakhtiar kepada FMT, merujuk kepada wakil rakyat yang berpaling tadah.
Katanya, PKR tidak akan berdepan masalah untuk memenangi semula kerusi itu kerana ia menjadi kubu kuat pembangkang sejak 1999. Pembangkang hanya kalah sekali di kerusi itu, kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU 2004.
PKR menamakan bekas senator Dewan Negara Fadhlina Sidek sebagai calonnya di kerusi itu.
Walaupun Fadhlina “muka baharu”, prestasinya bagus, menurut Bakhtiar.
“Beliau mendapat banyak sokongan daripada bahagian (PKR Pulau Pinang), juga Wanita PKR,” katanya.
Selain Bakhtiar sendiri di Nibong Tebal, PKR turut meletakkan Sim Tze Tzin di Bayan Baru dan Nurul Izzah Anwar di Permatang Pauh untuk mempertahankan kerusi tersebut.
Pertahan kerusi Balik Pulau tugas mencabar
Bakhtiar mengakui, mengekalkan kerusi Balik Pulau adalah tugas mencabar, malah menurutnya, ia kerusi paling sukar dipertahankan daripada empat kerusi tersebut.
Balik Pulau ialah kerusi kerap bertukar tangan, dengan kedua-dua Umno dan PKR pernah mewakilinya sejak 2008.
Bagaimanapun, Bakhtiar yakin dapat mengekalkan kerusi itu kerana beliau dan PKR telah berkhidmat dengan baik kepada pengundi kawasan itu sejak lebih empat tahun lalu, menambah baik infrastruktur dan memenuhi keperluan pendidikan pengundi.
Mengenai sama ada kebangkitan Umno selepas menang pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor akan menjadi cabaran buat PKR di Balik Pulau, beliau berkata, tidak banyak yang diusahakan parti Melayu itu di kawasan tersebut.
“Mereka (Umno) ada buat program sejak beberapa hari lepas memandangkan pilihan raya semakin hampir. Tetapi sebelum itu, tak nampak batang hidung.
“Sebaliknya, PKR yang telah berkhidmat dengan baik kepada pengundi di Balik Pulau,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram