HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Calon BN Muar fokus tarik semula undi Cina

-

Mohd Helmy Abd Latif berkata jangkaan gelombang lebih 85% pengundi Cina akan keluar mengundi pada PRU15 antara cabaran buat BN yang tidak boleh dipandang mudah.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Mohd Helmy Abd Latif tidak memandang rendah calon Muda dan Abdullah Husin daripada PN kerana dua individu itu pernah menjadi wakil rakyat.

MUAR:
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Muar, Mohd Helmy Abd Latif, berkata jangkaan gelombang lebih 85% pengundi Cina akan keluar mengundi pada PRU15 antara cabaran parti itu yang tidak boleh dipandang mudah.

Katanya, untuk itu BN perlu bekerja keras meyakinkan pengundi Cina selain mengerahkan seberapa ramai pengundi Melayu keluar mengundi 19 Nov ini bagi memastikan gabungan itu berjaya merampas kembali Muar.

“Kemenangan BN lebih 2/3 kerusi dalam PRN Johor sebelum ini adalah satu kelebihan buat BN termasuk merampas kembali Muar, tetapi seperti disuarakan Pengerusi BN negeri, Hasni Mohammad bahawa PRN dengan PRU berbeza.

“Kita tahu masyarakat Cina mereka ke arah mana, walau macam mana sekalipun saya akan jumpa mereka dan maklum saya anak tempatan dan sentiasa ada untuk mereka apabila diperlukan,” katanya kepada FMT merujuk kepada cabaran menarik lebih 30% pengundi bukan Melayu di Muar.

Katanya, walaupun bekas penyandang kerusi Muar sebelum ini, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, popular dan memenanginya dengan majoriti hampir 7,000 undi, ia bukan jaminan buat presiden Muda itu kekal kerana pengundi di kawasan berkenaan sangat unik dan boleh ubah pilih wakil rakyat baharu jika tidak lagi menyukai yang lama.

“Pengundi Muar mereka memang memilih orang yang benar-benar membela mereka, membela rakyat Muar dan membawa suara mereka ke peringkat lebih tinggi.

“Dalam PRN dan kita lihat peralihan undi daripada PH kepada kami BN dan PN ada peningkatan, jadi saya yakin orang Muar akan menilai mana wakil yang layak membawa suara mereka,” katanya.

Helmy bagaimanapun berkata beliau tidak memandang rendah keupayaan calon Muda dan Abdullah Husin daripada Perikatan Nasional (PN) kerana dua individu itu mempunyai rekod pernah menjadi wakil rakyat.

Katanya, beliau optimis mampu mengetengahkan kelebihan sebagai anak tempatan kerana dua calon lagi bukan anak tempatan.

“Saya betul-betul berasal dari Muar, lahir di Muar, bersekolah di Muar dan tinggal di Muar, itu kelebihan saya meyakinkan pengundi,” katanya.

Ditanya, jika cabaran debat dibuat parti lawan, Helmy yang juga ketua Pemuda Umno Muar berkata, beliau tidak memikirkan soal itu sebaliknya mahu fokus mendekati seberapa ramai pengundi.

Pada PRU14, Syed Saddiq yang bertanding menggunakan logo PKR merampas kerusi Parlimen Muar selepas menewaskan penyandangnya daripada BN, Razali Ibrahim dan calon PAS, Abdul Aziz Talib dengan majoriti 6,953 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.