HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

IWK tingkat ekonomi kitaran, guna enap cemar kumbahan untuk hasilkan larva lalat Black Soldier

-

IWK merintis inisiatif kitar semula biopepejal dalam penghasilan larva lalat Black Soldier – ramuan utama dalam pembikinan makanan untuk industri akuakultur yang mesra alam.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Penggunaan semula biopepejal mampu menjadi sumber alternatif yang berharga untuk IWK dalam mengukuhkan inisiatif hijaunya.

PETALING JAYA:
Usaha melindungi bumi supaya lebih mampan ke arah bebas daripada sisa buangan menjadi perkara amat penting, dengan inisiatif ekonomi kitaran yang mendapat perhatian lebih banyak syarikat untuk menerokainya.

Sehubungan itu, sebagai syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd juga telah meningkatkan inisiatif “waste-to-wealth” secara holistik dalam menjadikan sisa kumbahan sebagai sumber kekayaan baharu selain aktiviti teras perniagaannya.

Ini kerana syarikat ini berhasrat mengguna pakai prinsip ekonomi kitaran menerusi penggunaan semula produk sampingan, khususnya bioefluen, biopepejal, dan biogas.

Dalam perjalanan pemuliharaan sumber, IWK bukan sahaja memulakan inisiatif air pulih guna di mana air kumbahan yang dirawat di lojinya menjalani proses rawatan lanjut untuk digunakan sebagai air bukan minuman, malah, IWK turut bekerjasama dengan syarikat tempatan, Menum Industries Sdn Bhd bagi merintis inisiatif kitar semula biopepejal dalam penghasilan larva lalat Black Soldier.

Biopepejal atau “enap cemar kumbahan” adalah produk pepejal organik terhasil daripada proses rawatan air kumbahan.

Larva lalat Black Soldier diberi makan biopepejal ini, yang dicampurkan dengan sisa organik lain supaya membesar menjadi sumber makanan penuh protein, iaitu makanan popular dalam industri akuakultur.

Larva ini memakan campuran biopepejal IWK dan bahan organik lain dan seterusnya mengubah tisu badannya yang mengandungi 40% protein dan 30% lemak. Ia mengambil masa selama 20 hari untuk telur berubah menjadi larva, yang kemudian boleh dituai dan diproses menjadi dedak haiwan. Najisnya (fras) pula boleh digunakan sebagai baja organik berkualiti tinggi.

Pada bulan lalu, IWK menandatangani memorandum persefahaman (MoA) bersama Menum Industries untuk merintis inisiatif kitar semula biopepejal bagi penghasilan larva lalat Black Soldier. Menerusi kolaborasi ini, IWK merancang mengguna semula biopepejal terawat sebagai makanan untuk larva berkenaan membesar dan menjadi makanan protein lemak tinggi yang akhirnya akan mengurangkan pelupusan biopepejal di tapak pelupusan.

Free Malaysia Today
Menum Industries memiliki kepakaran teknikal dan kemudahan untuk menghasilkan larva lalat Black Soldier yang memakan campuran mengandungi biopepejal IWK.

Dalam kenyataan media baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, Loji Rawatan Kumbahan Serantau (RSTP) di sekitar Lembah Klang menghasilkan sekitar 200 tan biopepejal sehari, yang buat masa ini dilupuskan di tapak pelupusan.

“Selaras dengan hasrat IWK ke arah ekonomi kitaran, syarikat memulakan kerjasama ini dengan harapan untuk mengurus biopepejal yang terhasil secara mampan. Kerjasama ini akan membuka laluan dalam usaha kami untuk terus mencari langkah inovatif bagi memastikan proses dan biproduk hiliran dapat diuruskan secara mampan. Penggunaan semula biopepejal bagi menghasilkan sumber khasiat bernilai dan mampan sudah pasti menjadi titik perubahan dalam usaha syarikat terus mengukuhkan inisiatif hijau,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu juga selaras dengan sasaran Pelan Induk Teknologi Hijau Malaysia (GTMP), iaitu untuk mencapai 100% kitar semula biopepejal menjelang 2030.

Selain diberi mandat untuk membangun dan menyelenggara sistem pembetungan moden dan efisien untuk negara, IWK memain peranan penting dalam memastikan rakyat Malaysia hari ini dan pada masa akan datang, dapat menikmati persekitaran bersih lagi sihat, menerusi kualiti air kumbahan yang dilepaskan dari loji rawatannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.