
Memetik Malaysiakini, Nga berkata, sekiranya PN yang terdiri daripada Bersatu yang berasaskan Melayu dan PAS (Islamik) berkuasa, Malaysia akan menjadi seperti ‘Afghanistan’.
Ketua DAP Perak itu turut mendakwa, dasar ‘pelampau’ yang diketengah PAS mengenai perjudian, arak, konsert dan pengasingan lelaki dan wanita sememangnya mengancam nilai sekular dan kepelbagaian budaya negara.
Katanya, dasar berkenaan akan ‘menceroboh’ kebebasan orang bukan Islam serta membawa kepada penghijrahan pelabur asing yang secara langsung memberi kesan kepada ekonomi.
“PN telah mengumumkan sekiranya gabungan itu menang, calon PAS akan menjadi menteri besar bagi Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Apa yang lebih teruk ialah Presiden PAS Abdul Hadi Awang akan menggantikan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan dalam bahasa Mandarin.
Pada 2019, media melaporkan Nga sebagai berkata, sekiranya PAS dan Umno mengambil alih kerajaan persekutuan, Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan di bawah pentadbiran Taliban.
Susulan itu, Pemuda PAS Selangor berkata, pihaknya akan menganjurkan himpunan besar-besaran jika Nga tidak memohon maaf atas kenyataannya yang disifatkan sebagai ‘melampau’.
Nga bagaimanapun berkata, Pemuda PAS mempunyai hak untuk berhimpun.
“Biar polis yang kendalikan (himpunan itu). Kita hormati kedaulatan undang-undang, dan kita juga hormati kebebasan berekspresi.
“Mereka boleh menganjurkan perhimpunan selagi ia mematuhi undang-undang,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram