HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Bekas panglima TLDM pertahan kerajaan pilih reka bentuk LCS berbeza

-

Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, walaupun TLDM sebagai pengguna mempunyai keutamaan untuk reka bentuk LCS, tetapi butiran kontrak itu ditentukan Kementerian Kewangan.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Bekas panglima TLDM, Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, kepentingan negara melebihi mana-mana individu atau kumpulan.

PETALING JAYA:
Seorang bekas panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mempertahankan keputusan kerajaan memilih reka bentuk kapal tempur pesisir (LCS) berbeza daripada kehendak pasukan keselamatan itu.

Laksamana (bersara) Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, walaupun TLDM mempunyai keutamaannya, butiran kontrak itu ditentukan Kementerian Kewangan.

“Dalam menentukan reka bentuk, mereka mengambil kira faktor lain seperti kos, risiko, cadangan komersial dan mungkin juga geostrategik.

“Lebih penting ialah semua spesifikasi teknikal TLDM atau pengguna dipenuhi. Ini bagi memastikan mereka dapat memenuhi peranan dan fungsi ditetapkan.

“Pada pandangan saya, kepentingan negara patut melebihi kepentingan individu atau kumpulan,” katanya dalam wawancara dengan FMT.

Dokumen kerajaan yang dinyahklasifikasikan menunjukkan TLDM pada 2011 memilih kapal kelas Sigma rekaan Belanda, yang boleh dikonfigurasikan sebagai kapal serangan pantas, korvet atau frigat.

Free Malaysia Today
Projek LCS dikritik atas kelewatan pembinaan dan kosnya.

Menteri Pertahanan ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi bersetuju dengan pilihan TLDM. Tetapi, beliau mengubah fikiran kemudian, dua hari selepas menerima cadangan kontraktor.

Kementerian Pertahanan kemudiannya memilih frigat kelas Gowind rekaan Perancis.

Boustead Naval Shipyard, kontraktor utama projek itu, dikritik atas kelewatan projek itu. Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dilaporkan berkata, tiada sebuah pun daripada enam kapal itu disiapkan, selepas kerajaan membayar RM6 bilion.

Kamarulzaman, yang juga panglima TLDM dari 2015 hingga 2018, menggunakan analogi membeli televisyen untuk menjelaskan keputusan kerajaan.

Katanya, pelanggan yang mahu membeli televisyen mungkin mempunyai keutamaan dan hak mereka untuk membeli sebarang jenama mengikut kehendak mereka.

“Tetapi, apabila membabitkan dana kerajaan, kita patut terima sebarang jenama televisyen, asalkan spesifikasi dan cirinya sama berdasarkan keperluan pengguna.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.