HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Penduduk rayu kerajaan Perak batal bina loji air kedua di Kampung Sempeneh, Larut

-

Wakil penduduk, Ahmad Fuad Mokhtar berkata, pihaknya sudah menghantar surat bantahan kepada pejabat MB Perak, namun tiada maklum balas sehingga kini.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Sebahagian penduduk Kampung Sempeneh memegang poster bantahan pembinaan loji kedua Lembaga Air Perak di kampung itu.

LARUT:
Penduduk di tiga kampung dekat Batu Kurau mempersoalkan tindakan kerajaan negeri meneruskan kerja pembinaan loji air kedua Lembaga Air Perak (LAP), walaupun mereka membantahnya.

Wakil penduduk, Ahmad Fuad Mokhtar berkata, pembinaan loji air itu akan memberi kesan langsung kepada aktiviti pertanian dan menjejaskan pelancong melawat Kampung Sempeneh, Kampung Perak dan Batu Kurau, yang ekonominya dijana tanaman durian dan perusahaan chalet.

Menurutnya, pembinaan loji air pertama dilaksanakan di kampung berkenaan pada 1969, manakala pembinaan loji kedua yang terletak kira-kira 100m dari lokasi loji pertama disifatkan tidak munasabah.

Beliau berkata, mereka memulakan bantahan sebelum 2020 lagi dan mengadakan perjumpaan dengan LAP.

“Tetapi apabila perintah kawalan pergerakan berakhir, tiba-tiba LAP membawa masuk paip untuk melakukan pemasangan paip air bawah tanah,” katanya kepada FMT.

Free Malaysia Today
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Sempeneh, Abu Yazid Ali (kiri) dan pengusaha ‘campsite’, Mustafa Bakri Zakaria menunjukkan lokasi pembinaan projek loji air kedua di kampung itu.

Malah, beliau berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan penduduk kampung sudah menghantar surat bantahan kepada pejabat Menteri Besar Perak, exco pelancongan, LAP dan Jabatan Kerja Raya (JKR), namun tiada tindakan atau maklum balas diterima setakat ini.

Sementara itu, pemilik tanah yang juga pengusaha “campsite” di pusat rekreasi itu, Mustafa Bakri Zakaria khuatir pembinaan loji kedua itu akan menyebabkan paras air sungai semakin cetek, sekali gus memberi kesan kepada kedatangan pelancong.

“Saya dah labur dekat situ RM50,000, kalau depa ambil (tadah) air… kalau air tu kering, tiada orang nak masuk dan tidur dekat ‘camp’ kami.

“Kami baru beroperasi tiga tahun, pelanggan pun tak berapa ramai lagi, untung pun tak dapat lagi,” katanya yang ditawarkan pampasan RM1,300 bagi keluasan tanah 36 kaki persegi.

Free Malaysia Today
Kerja membersihkan laluan giat dijalankan di Kampung Sempeneh bagi pembinaan loji air kedua Lembaga Air Perak.

Pengusaha durian, Ropiah Abdul Majid pula mendakwa dipaksa membayar RM3,000 sekiranya berkeras membantah projek itu.

“Kakitangan di Pejabat Tanah di Taiping minta saya isi borang J dan bayar RM3,000 kalau bantah, mereka suruh bawa perkara ini ke mahkamah, tetapi guna peguam yang telah disediakan dan tak benarkan kami guna khidmat peguam luar,” katanya.

Difahamkan, pembinaan loji kedua takungan air itu menelan kos RM44 juta, namun tiada sebarang kebenaran diberikan pemilik lot tanah terbabit untuk melakukan kerja pembinaan sehingga kini.

Tinjauan FMT di kawasan berkenaan mendapati kerja mengorek laluan paip sedang berjalan dan halaman rumah beberapa penduduk dikotori sisa tanah merah.

Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Larut, Hamzah Zainudin berjanji menghalang pembinaan loji air kedua itu, sekiranya dipilih sekali lagi pada pilihan raya umum ke-15.

Beliau yang dalam misi mempertahankan kerusi Larut buat penggal keempat mempersoalkan keperluan membina loji air kedua di kawasan berhampiran kawasan pertanian dan pusat pelancongan itu, sedangkan sudah ada loji pertama.

Hamzah menjadi Ahli Parlimen Larut sejak 2008 di bawah tiket Barisan Nasional, sebelum berhijrah ke Bersatu pada 2019.

“Kalau dah ada yang pertama tu (loji) sudah-sudahlah. Kita kena faham pendapatan orang kampung di sini adalah melalui pertanian, maka sebab itu air di sini menjadi punca utama kepada semua orang kampung dan ia boleh menyebabkan hasil pertanian juga berkurangan.

“Saya bersama mereka menuntut projek kedua membina loji air di sini dibatalkan kerana mengganggu saluran air ke kampung dan kawasan pertanian, selain memberi kesan besar kepada pengusaha inap desa dan chalet,” katanya ketika melawat kawasan Sungai Sempeneh, Batu Kurau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.