
Laporan itu dibuat Pengarah Strategi PH, Bryan Ng dan Pengarah Komunikasi Pemuda PKR, Syaril Showkat Ali di IPD Dang Wangi.
Dalam laporannya, Ng berkata, petikan ucapan Muhyiddin dalam ceramah baru-baru ini tular di TikTok. Bekas perdana menteri itu dipercayai membuat dakwaan itu dalam sebuah ceramah di Parit Jawa, Johor, pada 16 Nov lalu.
“Muhyiddin kata mengundi PH berbahaya kerana PH menaja gerakan Yahudi dan terdapat (agenda) Kristianisasi di Malaysia,” menurut laporannya.
Ng berkata, kenyataan Muhyiddin itu adalah dakwaan berunsur fitnah dan tidak berasas yang menyentuh sensitiviti agama.
Dalam sidang media di luar IPD Dang Wangi, beliau menggesa Muhyiddin menyerahkan bukti kepada polis, jika benar PH dikaitkan dengan gerakan sedemikian.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan memfailkan saman sivil terhadap Muhyiddin.
Dalam rakaman ceramah yang tular baru-baru ini, Muhyiddin berkata “sangat bahaya” untuk PH kembali berkuasa, sambil mendakwa beliau melihat satu video sekumpulan Yahudi yang “ditaja” oleh pembangkang.
Bekas perdana menteri itu juga mempersoalkan sama ada akan berlakunya “proses Kristianisasi”, dan mendakwa “agenda mereka” adalah ingin menjadikan Malaysia menjadi satu daripada “koloninya”.
Majlis Gereja Malaysia membidas Muhyiddin atas dakwaan itu, manakala Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, parti itu bercadang memfailkan petisyen pilihan raya terhadap beliau.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram