Fikir masak-masak, elaklah PAS, warganet beritahu MCA, MIC

Fikir masak-masak, elaklah PAS, warganet beritahu MCA, MIC

MCA digesa berfikir secara mendalam sebelum menyertai sebarang gabungan antara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, kerana bimbang PAS akan mengenakan peraturan tegas terhadap golongan bukan Islam.

Presiden MCA Wee Ka Siong dan Presiden MIC SA Vigneswaran menghadiri pertemuan pemimpin Barisan Nasional serta Pakatan Harapan hari ini.
PETALING JAYA:
Segelintir warganet menyuarakan pandangan di media sosial dengan memberi amaran kepada MCA – ahli Barisan Nasional (BN) – terhadap sebarang kerjasama gabungan itu bersama Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan baharu.

Seorang pengguna Facebook berkata, MCA perlu berfikir masak-masak perkara itu kerana bimbang PAS yang menganggotai PN, berkemungkinan mengenakan peraturan tegas terhadap golongan bukan Islam.

“Adakah PAS atau DAP lebih baik? Fikir dulu, tuan. Lebih baik MCA tebalkan muka dan sokong saja PH. Apa yang mungkin berlaku nanti, pengharaman Genting Highlands, bir?” katanya.

Pengguna Twitter, Shaun berkata: “MIC dan MCA, adakah anda lupa PAS dalam PN? Dan mereka begitu besar sekarang, tidak takutkah disembelih?” soalnya.

Seorang lagi pengguna Facebook, Adam berkata MCA wajar bertindak dengan bermaruah dan seterusnya menyoal: “Bagaimana kamu boleh bekerjasama dengan ekstremis dalam PAS?”

MCA turut diberi amaran berkemungkinan menghadapi nasib lebih malang dalam pilihan raya seterusnya sekiranya BN bekerjasama dengan PN untuk membentuk kerajaan baharu.

“Saya turut menyoal apa pendirian MCA sekarang? Adakah mereka akan sokong PN/PAS kali ini? Kebanyakan orang Cina ketakutan selepas keputusan pilihan raya. Jika MCA tidak bersama kita, mereka akan kalah lebih teruk lagi pada masa depan,” kata seorang pengguna Facebook.

Seorang warganet berkata, Presiden MCA Wee Ka Siong mungkin tiada pilihan selain akur dengan keputusan BN untuk bekerjasama dengan PH bukannya PN, demi pengundi.

“Sejujurnya, Wee mungkin tiada pilihan selain menyokong kerjasama PH-BN. Pengundi mereka berkemungkinan marah sekiranya MCA memilih untuk menarik diri daripada BN dan bekerjasama dengan PN,” katanya.

“Jika MIC dan MCA memilih PN, saya ucapkan selamat maju jaya,” kata seorang lagi warganet.

Terdahulu, FMT melaporkan belum ada kata putus dicapai dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN bagi membincangkan kerjasama dengan gabungan lain untuk membentuk kerajaan baharu.

Pada pertemuan itu, Presiden MIC, SA Vigneswaran memberitahu wartawan, keputusan mungkin dicapai pada Selasa. Wee berkata, kepimpinan tertinggi BN sedang mempertimbangkan semua kemungkinan.

Ahli Parlimen BN bermesyuarat dengan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi di Hotel Seri Pacific, yang turut dihadiri pemimpin PH dengan wakil kedua-dua gabungan itu mengadakan perbincangan mengenai pembentukan kerajaan persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.