Mahkamah benar permohonan Thomas batal saman Najib

Mahkamah benar permohonan Thomas batal saman Najib

Hakim Ahmad Bache berkata, peguam negara mempunyai imuniti daripada disaman kerana melaksanakan tugasnya.

Tommy Thomas meletakkan jawatan sebagai peguam negara pada 28 Feb 2020, susulan kejatuhan kerajaan PH.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan bekas peguam negara Tommy Thomas untuk membatalkan saman Najib Razak terhadapnya berhubung dakwaan salah laku sebagai penjawat awam.

Hakim Ahmad Bache berkata, peguam negara mempunyai budi bicara tanpa batasan untuk memulakan, mengurangkan dan menarik balik tuduhan terhadap orang yang dituduh seperti yang diperuntukkan bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Peguam negara mempunyai imuniti daripada disaman kerana menjalankan tugasnya. Tindakannya juga tidak boleh diadili,” kata hakim.

Oleh itu, Ahmad berkata, saman bekas perdana menteri itu jelas tidak dapat dipertahankan dan harus dibatalkan.

Najib memfailkan saman terhadap Thomas tahun lalu, dengan mendakwa tuduhan jenayah berkaitan 1MDB terhadapnya adalah “sebahagian daripada sesuatu yang telah dirancang lama dan dirangka awal” oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu.

Beliau mendakwa Thomas, yang dilantik sebagai peguam negara pada 4 Jun 2018, menjalankan tugasnya “selaras dengan rancangan (itu)”.

Thomas meletak jawatan sebagai peguam negara pada 28 Feb 2020, susulan kejatuhan kerajaan PH.

Dalam permohonannya, Thomas mendakwa saman itu difailkan untuk tujuan kolateral, iaitu, “untuk digunakan dalam kempen (Barisan Nasional) menjelang pilihan raya negeri Melaka November lalu dan untuk pilihan raya umum”.

Najib mahu menuntut ganti rugi RM1.94 juta.

Hakim itu berkata, Najib dalam samannya mendakwa Thomas memfailkan sejumlah 35 pertuduhan dalam empat kes termasuk membabitkan 1MDB dan International Petroleum Investment Co (IPIC).

Bagaimanapun, katanya, Najib tidak memasukkan tujuh tuduhan rasuah melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd yang masuk ke dalam akaun banknya.

Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos mengesahkan sabitan Najib dalam kes SRC International dan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Ahmad berkata, tiada bukti Thomas telah melakukan salah laku sebagai penjawat awam, menggunakan proses undang-undang dengan niat jahat dan bertindak secara melulu dalam kes Najib.

“Ini boleh dilihat dalam pelbagai proses untuk membawa seseorang ke muka pengadilan yang ketat, dan peguam negara, yang juga pendakwa raya, perlu melalui beberapa peringkat,” katanya.

Beliau berkata, proses ini merangkumi prosedur “semak dan imbang” yang tidak akan menyebabkan Thomas melakukan sebarang salah laku awam.

Ahmad berkata, nasib Najib akan ditentukan oleh mahkamah, bergantung kepada keterangan kukuh dikemukakan pihak pendakwaan.

Hakim itu berkata, Thomas tidak boleh menjalankan pendakwaan bagi empat kes itu kerana beliau telah meletak jawatan.

Jika permohonan Najib dibenarkan, katanya, semua tindakan pendakwa raya akan diteliti dan menjejaskan budi bicara yang diberikan kepadanya dan timbalannya (DPP) untuk menjalankan tugas.

Beliau berkata, Najib tidak sepatutnya memfailkan saman apabila perbicaraan jenayah masih belum selesai.

“Ia juga menyebabkan kekeliruan, dan pelanggaran bidang kuasa antara sivil dan jenayah,” katanya.

Najib diperintahkan membayar kos RM12,000 kepada Thomas, yang diwakili Alan Adrian Gomez dan Mervyn Lai.

Peguam Yudistra Darma Dorai dan Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Najib.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.