HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Mencabar, tanggungjawab berat, Ewon azam bukti kemampuan

-

Ewon Benedick akui peranannya bukan saja menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi malah memberi sumbangan kepada rakyat Sabah.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick mahu menggunakan pendekatan seimbang dan melihat tanggungjawab diberikan sebagai motivasi untuk bekerja keras.

KUALA LUMPUR:
Bakal Presiden Upko, Ewon Benedick menyuarakan keazaman untuk membuktikan rakyat Sabah boleh memimpin selepas berjaya meraih kemenangan kali pertama di peringkat Parlimen, malah terus dilantik sebagai menteri dalam kerajaan perpaduan.

Menteri pembangunan usahawan dan koperasi itu, berkata cabaran menantinya sudah tentu tinggi lebih-lebih lagi untuk rakyat Sabah.

“Saya mempunyai peranan sangat mencabar bukan setakat menerajui kementerian ini, tetapi untuk memberi satu sumbangan kepada rakyat Sabah,” katanya dalam temu bual bersama FMT.

Ewon adalah ADUN Kadamaian dari 2018 sehingga kini. Bekas setiausaha akhbar Ahli Parlimen Penampang dari 2008 hingga 2011 itu pernah menjawat jawatan menteri pembangunan luar bandar kerajaan Sabah dari 2018 hingga 2020.

Optimis usahawan Bumiputera boleh berjaya

Sementara itu, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang optimis peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) khususnya dalam kalangan Bumiputera boleh berjaya bawah kementeriannya, malah pembangunan keusahawanan memang menjadi antara sektor terpenting yang menyumbang 47% tenaga kerja dalam negara.

Katanya, kerajaan sudah tentu akan menyediakan banyak program sokongan sama ada pembiayaan melalui pinjaman termasuk kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pemberian geran fokus kepada usahawan Bumiputera.

“Tetapi usahawan itu sendiri memainkan peranan sendiri. Banyak kejayaan usahawan bergantung pada usahawan itu sendiri.

“Kementerian dan agensi hanya menyediakan sokongan sama ada dari segi latihan, dana, pinjaman dan geran tetapi akhirnya yang tentukan golongan Bumiputera itu berjaya atau tidak adalah usahawan itu sendiri,” katanya.

Beliau berharap dapat melihat lebih banyak cerita kejayaan dalam kalangan usahawan yang dilatih oleh agensi bawah kementerian itu pada masa akan datang.

5 tahun buktikan peranan dalam kerajaan

Dalam pada itu, Ewon berkata, beliau mempunyai masa lima tahun bagi membuktikan peranannya dalam Jemaah Menteri, malah berazam bekerja keras dalam tempoh itu bagi memastikan pemilihan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak salah.

“Saya satu-satu wakil daripada Upko. Kita ada lima tahun untuk buktikan peranan kita dalam Jemaah Menteri.

“Saya mahu kerja keras dengan cara saya sendiri iaitu menggunakan pendekatan seimbang. Saya yakin boleh ‘deliver’ dengan menginsafi betapa berat tanggungjawab ini. Bila insaf akan ambil motivasi untuk kerja lebih baik dan lebih keras lagi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.