
Projek ladang hutan seluas 4,280 hektar di hutan simpan Kledang Saiong dicadangkan empat syarikat dan laporan EIA projek itu didedahkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) semalam.
Pengarah Rimba Disclosure Project (RDP), Adam Farhan, berkata tapak projek itu terletak di kawasan sensitif alam sekitar “Peringkat 2”.
Katanya, mengikut Rancangan Struktur Negeri Perak projek pembangunan dan perladangan tidak sepatutnya dijalankan di kawasan sebegitu.
Adam berkata, hanya aktiviti pembalakan dengan impak yang kurang boleh dijalankan di kawasan itu, berbanding rancangan projek untuk membersihkan, meneres dan menubuhkan ladang di lokasi hampir sebesar Putrajaya.
Katanya, ladang hutan sepatutnya diwujudkan hanya di “hutan yang terdegradasi”. Menurut Global Forest Watch, beliau berkata, hutan simpan Kledang Saiong hanya merekodkan kerugian merangkumi kawasan hutan seluas 512 hektar dari 2001 hingga 2021.
“Oleh itu, tidak ada justifikasi untuk menukar kawasan daripada hutan kepada ladang,” katanya kepada FMT.
Beliau mendakwa, projek ladang hutan yang dicadangkan itu sebagai “pembersihan hutan secara tersembunyi” kerana ladang tidak boleh dianggap sebagai hutan, apatah lagi hutan simpan.
Definisi hutan yang diterima secara meluas oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian tidak termasuk kawasan yang kebanyakannya digunakan untuk pertanian, katanya.
“EIA ini patut ditolak kerana ladang hutan mendorong penebangan hutan di negara ini,” kata Adam.
“Dakwaan berulang kali dalam EIA bahawa projek itu mengurangkan tekanan ke atas hutan lain dan memastikan bekalan kayu, adalah tidak benar kerana data RDP menunjukkan bahawa pemacu utama penebangan hutan di Semenanjung Malaysia adalah ladang hutan itu sendiri.
“Berdasarkan data awal kami, sehingga 70% daripada penebangan hutan boleh dikaitkan dengan ini (ladang hutan). Bagaimanakah ladang hutan boleh mengurangkan tekanan ke atas hutan lain sedangkan ia sendiri adalah tekanan utama?”
Beliau turut menyatakan krisis iklim dan biodiversiti yang dihadapi negara sebagai satu lagi sebab mengapa projek itu tidak perlu diluluskan.
FMT tidak mendedahkan nama syarikat dan perunding yang menyediakan laporan EIA sementara menunggu ulasan.
JAS berkongsi pautan ke borang maklum balas awam untuk cadangan projek ladang hutan.
Sementara itu, ketika dihubungi FMT, Menteri Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kementerian akan memberi maklum balas berhubung perkara itu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram