HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

158 ketulan ganja terapung di tali air

-

Polis tidak menolak kemungkinan dadah itu dibawa melalui laut dan kawasan tali air terbabit dijadikan transit.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Shahnaz Akhtar Haji (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan ketulan mampat daun kering disyaki ganja yang dibaluti plastik lutsinar serta foil berwarna perak dan emas. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA:
Sebanyak 158 ketulan ganja mampat seberat 180.17kg ditemui terapung di tali air di Jalan Sungai Yan, Kampung Tengah Makau, Kedah, Sabtu lalu.

Ketua Polis Yan, Shahnaz Akhtar Haji, berkata Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Yan bergegas ke tempat kejadian, selepas polis menerima makluman orang awam pada 9.35 pagi.

“Hasil pemeriksaan menemui 158 ketulan mampat daun-daun kering disyaki dadah jenis ganja dibaluti plastik lutsinar serta foil berwarna perak dan emas.

“Bahan disyaki dadah jenis ganja itu ditemui terapung di atas air di sekitar pintu air kawasan sungai, namun tiada tangkapan dilakukan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, dadah itu dianggarkan bernilai hampir RM500,000 dan pihaknya tidak menolak kemungkinan ia dibawa melalui laut serta percaya kawasan tali air itu dijadikan transit.

“Kawasan tali air itu terletak berhampiran rumah penduduk kampung dan mungkin individu terbabit bimbang kegiatan itu dikesan orang lain menyebabkan dia mencampak dadah berkenaan di situ.

“Kita juga percaya dadah itu diletakkan di kawasan itu kurang dari enam jam, iaitu pada awal pagi sebelum ia ditemui pada 9.35 pagi.”

Katanya, dadah itu disyaki bukan untuk kegunaan tempatan.

“Setiap 1kg dadah itu dianggarkan bernilai RM2,500 dan kemungkinan besar kegiatan ini dilakukan sindiket,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.