
Pemangku Ketua Polis Selangor S. Sasikala Devi, berkata dianggarkan sebanyak 171,000 kenderaan akan menggunakan lebuh raya itu setiap hari bermula Jumaat ini berbanding purata penggunaan harian iaitu 100,000.
“Polis akan terus mengatur strategi dan mengambil segala inisiatif bagi memastikan kadar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan termasuk memberi fokus kepada penguatkuasaan undang-undang, advokasi dan pencegahan jenayah serta kehadiran polis di lokasi, ” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat-19 Kontinjen Selangor sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Gombak hari ini.
Beliau berkata menerusi Op Selamat-17 sempena perayaan Tahun Baharu China tahun lepas, sejumlah 2,810 kemalangan direkodkan dengan 21 kematian berbanding 4,824 kes dan 23 kematian dalam Op Selamat-16 pada 2020.
Sasikala berkata pihaknya turut mengenal pasti enam lokasi hotspot kemalangan dan kesesakan di Selangor iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang Utara, Hulu Selangor, Gombak serta Ampang.
Beliau turut menasihati orang ramai yang ingin pulang supaya mengisi maklumat balik kampung bagi mengurangkan risiko kes pecah masuk rumah.
“Orang ramai boleh hubungi mana-mana balai polis berdekatan atau mengisi borang maklumat balik kampung yang boleh dimuat turun di portal PDRM,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram