HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Pegawai kerajaan lapor rasuah kepada PM bukan cadangan baik, kata C4

-

Kumpulan antirasuah itu bimbang mengenai perlindungan kepada pemberi maklumat yang tampil membuat aduan terus kepada perdana menteri.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Isnin lalu menggesa kakitangan kerajaan melaporkan terus kepada beliau sekiranya ada amalan rasuah atau salah laku. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan antirasuah melahirkan kebimbangan mengenai gesaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang meminta kakitangan kerajaan untuk melaporkan sebarang salah laku dalam kerajaan secara terus kepada beliau.

Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) berkata, pendekatan untuk menangani rasuah dan kebocoran dana itu akan menjadi kurang berkesan dan mungkin akan mengukuhkan kuasa Anwar sebagai perdana menteri dan juga menteri kewangan.

C4 mempersoalkan sama ada perlindungan kepada pemberi maklumat akan dijamin sekiranya penjawat awam tampil untuk melaporkan terus kepada Anwar.

“Bagaimana sistem pemberi maklumat yang tertumpu hanya kepada perdana menteri ini boleh dicapai, efektif dan tidak berat sebelah,” soal C4 dalam satu kenyataan hari ini.

“Bagaimana sistem pemberi maklumat boleh dilengkapi dalam usaha untuk menghapuskan kebocoran dan rasuah?.”

C4 berkata, membentangkan rang undang-undang perolehan perlu diberi keutamaan manakala Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2020 perlu disemak sekiranya Anwar serius untuk melindungi pemberi maklumat.

“Pindaan mesti dibuat pada Seksyen 6(1) akta itu termasuk membenarkan pendedahan kepada pihak luar seperti media, Ahli Parlimen, pertubuhan masyarakat dan badan lain yang tidak disenaraikan oleh akta itu,” katanya.

Katanya, Seksyen 11(1) juga perlu dipinda bagi memberikan agensi penguatkuasa kuasa budi bicara untuk menilai semua faktor sebelum memutuskan untuk membatalkan perlindungan kepada pemberi maklumat.

C4 juga menggesa penubuhan satu badan pemantau untuk berunding dan memutuskan berhubung pembatalan perlindungan kepada pemberi maklumat.

Katanya, badan itu seharusnya bebas daripada pengaruh Putrajaya dan perdana menteri.

“Badan ini perlu dilengkapkan dengan kuasa untuk memantau keputusan dibuat agensi penguatkuasaan bagi membatalkan perlindungan mengikut Seksyen 11(1) akta itu termasuk untuk menarik balik keputusan tidak membenarkan perlindungan di bawah Seksyen 6.

“Ketelusan dan keberkesanan semak dan imbang oleh pegawai awam hanya boleh berlaku sekiranya ada undang-undang mencukupi untuk melindungi mereka yang sanggup mendedahkan amalan rasuah atau salah guna kuasa, dan juga satu badan berdedikasi yang berkuasa menerima serta memproses laporan daripada pemberi maklumat,” katanya.

Pada Isnin lalu, Anwar berkata, pegawai kerajaan harus tampil sekiranya sebarang tindakan kerajaan perpaduan didapati melanggar undang-undang, dan menambah beliau juga tidak terkecuali sekiranya melakukan kesalahan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.