HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Kerajaan kerjasama dengan teksi, e-panggilan galak rakyat naik kereta api

-

Loke Siew Fook berkata langkah itu memandangkan bas pengantara tidak dapat sepenuhnya menyelesaikan masalah sambungan pengguna pengangkutan awam.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata pihaknya sedang melihat kerjasama dengan penyedia perkhidmatan teksi dan e-panggilan untuk menyelesaikan masalah sambungan destinasi pertama dan terakhir.

PUTRAJAYA:
Kerajaan akan melibatkan penyedia perkhidmatan teksi dan e-panggilan bagi menyelesaikan masalah sambungan batuan pertama dan terakhir pengguna pengangkutan awam demi meningkatkan jumlah penumpang kereta api.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata antara cara mungkin dapat menyelesaikan masalah itu adalah perkongsian perjalanan dan penawaran tambang lebih murah.

“Melihat kepada masalah batuan pertama, bas pengantara tidak dapat menyelesaikannya kerana ini tidak tersedia di semua tempat,” katanya pada sidang media selepas menaiki perjalanan percubaan MRT2 yang baharu.

“Jadi, kita sedang lihat untuk bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan teksi dan e-panggilan untuk membolehkan perkongsian perjalanan dan memastikan perkhidmatan dari rumah ke stesen menjadi lebih murah dan optimum.”

MRT2, atau Fasa 2 Laluan MRT Putrajaya, dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada pertengahan Mac. Laluan tersebut meliputi jarak 57.7km dengan 36 stesen dari Kwasa Damansara ke Putrajaya.

Apabila ditanya mengenai penggunaan kenderaan mikromobiliti dalam menyelesaikan masalah sambungan batuan pertama dan terakhir, Loke berkata, kementerian akan menyokong sebarang rancangan dilihat mampu menyelesaikan masalah itu dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

“Bagaimanapun, prasarana tertentu perlu diwujudkan sebelum (penggunaan kenderaan mikromobiliti) dibenarkan.

“Kita perlu membenarkan dan menggalakkan apa sahaja yang dapat membantu (menyelesaikan masalah) batuan pertama, batuan terakhir,” katanya sambil menyebut larangan terhadap kenderaan mikromobiliti di jalan raya oleh kerajaan terdahulu.

Ketika mengumumkan larangan itu tahun lalu, menteri pengangkutan ketika itu, Wee Ka Siong berkata, penggunaan kenderaan mikromobiliti di jalan raya mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.

Larangan itu melibatkan moped, peranti mobiliti peribadi dan alat bantuan mobiliti peribadi. Wee kemudiannya berkata, kerajaan akan mengeluarkan garis panduan berhubung kenderaan mikromobiliti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.