
Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata Khairy yang sebelum ini pernah menolak tawaran berpaling tadah ke PN ketika bersama Umno juga berisiko menjejaskan imej progresifnya.
Bekas ketua Pemuda Umno itu pada Isnin mendedahkan beliau menerima beberapa tawaran bertanding pada PRN Selangor, bahkan ada satu parti berhasrat menamakannya untuk jawatan menteri besar.
Bagaimanapun, menurut The Star, bekas Ahli Parlimen Rembau itu yang dipecat Umno bulan lalu enggan mendedahkan parti mana membuat tawaran sedemikian.
Sumber terdekat memberitahu FMT, PN membuat tawaran itu kepada Khairy.
Fauzi berkata sekiranya Khairy menyertai PN, gabungan itu akan bergantung kepadanya dengan harapan merampas negeri berkenaan. Namun, jika PN tumpas, nasibnya mungkin terumbang-ambing.
“Beliau kurang sokongan akar umbi dalam PN. Beliau akan dibiarkan bersendirian hinggakan penyokong pelbagai kaum dan di kawasan bandar mungkin meminggirkannya kerana berpihak kepada PN.
“Bersendiri dalam PN, Khairy berkemungkinan ‘ditelan’ oleh politik PN berbanding membentuk PN sebagai entiti pluralis selaras etos pegangannya,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya Khairy menyertai PN dan berakhir dengan pihak kalah, sukar bagi bekas menteri kesihatan itu untuk kembali bangkit, sekali gus memusnahkan imej progresifnya.
Penganalisis politik, Wong Chin Huat, berkata Khairy akan memperjudikan nasibnya sekiranya beliau menyertai PN.
“Beliau pastinya membawa sebahagian besar pengundi pertengahan Melayu dan penyokong setia Barisan Nasional,” kata profesor dari Sunway Universiti kepada FMT.
“Bagaimanapun, imejnya terjejas kerana bersekutu dengan PN, terutama jika PAS membuat kenyataan tidak masuk akal.”
Wong percaya pengundi bukan Melayu dan liberal akan kekal menyokong PH dan BN walaupun PN berjaya menarik Khairy.