
Komandernya, Ismail Abd Ghani berkata, sebaik bencana gempa bumi menimpa Turki, anggota pasukannya sudah mula bersiap sedia untuk menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) di sana.
“Kepakaran pasukan Storm ini, saya rasa, setaraf dengan pasukan menyelamat utama di dunia,” katanya kepada FMT sebelum berlepas ke Turki pada Rabu.
“Latihan kami tidak jauh beza dengan pasukan (penyelamat) lain. Jadi tiada masalah, kami boleh bercakap ‘bahasa yang sama’ dengan pasukan-pasukan penyelamat utama di dunia.”
Storm turut meminjamkan sebilangan anggotanya kepada Smart, pasukan khas mencari dan menyelamat yang ditubuhkan bawah Majlis Keselamatan Negara, yang dianggotai bomba, polis, dan tentera.
Ismail berkata, kepakaran Storm adalah “Urban Disaster Search and Rescue”, iaitu mencari dan menyelamat antaranya dalam kejadian bangunan runtuh.
Justeru, katanya, anggotanya diminta terbang ke Turki susulan kejadian gempa bumi di negara itu untuk menyertai usaha pasukan penyelamat lain dari seluruh dunia, sesuai dengan kepakaran mereka.
APM hargai kepercayaan kerajaan
Tidak kurang hebatnya, Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut diberi kepercayaan untuk menyertai misi SAR ke Turki dengan kekuatan anggota seramai 20 orang.

Ketua pesuruhjayanya, Aminurrahim Mohamed berkata, pihaknya amat menghargai peluang yang diberikan oleh kerajaan Malaysia, khususnya buat Pasukan Khas Pertahanan Awam (Paspa).
“Misi di Turki bukan yang pertama untuk APM. Sebelum ini, kami ada menyertai misi kemanusiaan di Palu, Indonesia,” katanya kepada media.
“Justeru ini merupakan satu penghargaan daripada kerajaan Malaysia kerana sekali lagi memberi kepercayaan kepada Paspa untuk turut terlibat dalam misi SAR.”
Sehubungan itu, katanya, APM akan terus memperhebat latihan bagi memastikan pasukannya dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik.
Gempa bumi di Turki berukuran 7.7 pada skala Richter melanda wilayah Kahramanmaras, diikuti gempa susulan 7.6 pada skala Richter yang menjejaskan beberapa wilayah lain termasuk Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa.
Dilaporkan bahawa hampir 6,000 bangunan musnah ekoran kejadian gempa bumi itu dan setakat awal pagi Khamis, angka korban mencecah 12,000 orang.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram