HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Kaji semula 5 undang-undang berkait alam sekitar, kata Adun

-

Adun Subang Jaya Michelle Ng mencadangkan hanya satu akta sahaja merangkumi pencemaran sumber air manakala undang-undang lain yang serupa dimansuhkan.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Adun Subang Jaya Michelle Ng berkata penyelarasan undang-undang itu wajar untuk memberikan kejelasan kepada Jabatan Peguam Negara. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA:
Adun Subang Jaya, Michelle Ng menggesa kerajaan mengkaji semula lima undang-undang berkaitan kesalahan pencemaran air bagi mengelakkan percanggahan bidang kuasa agensi, khususnya dari segi siasatan sedang berlaku di lapangan.

Antaranya termasuk Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Akta Kerajaan Tempatan 1967, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Kanun Keseksaan dan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 .

Beliau berkata, penyelarasan undang-undang itu wajar untuk memberikan kejelasan kepada Jabatan Peguam Negara mengenai undang-undang yang wajar digunakan.

“Saya mencadangkan hanya satu akta sahaja yang merangkumi pencemaran sumber air. Undang-undang yang serupa dalam akta lain wajar dimansuhkan.

“Jika kami ingin undang-undang yang berkesan, pelaksanaan dan penguatkuasaannya perlu mengelakkan keraguan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Ng menyambut baik pengumuman Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mengenai peningkatan denda menerusi pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan denda minimum turut perlu dinyatakan dalam akta itu.

“Siasatan dijalankan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Sumber Air Selangor berkenaan isu pencemaran air mendapati denda maksima yang dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan pencemaran air adalah hanya RM75,000.

“Denda ini adalah terlalu rendah memandangkan kesalahan tersebut membawa kesan kepada berjuta-juta orang terutama apabila loji rawatan air perlu dihenti tugas,” katanya.

Hari ini, Nik Nazmi mengumumkan kerajaan bercadang meningkatkan hukuman terhadap pencemar alur air dan sumber bekalan air menerusi pindaan pada Akta Industri Perkhidmatan Air.

Katanya, pindaan melibatkan denda daripada RM100,000 kepada RM10 juta manakala hukuman penjara dinaikkan dari setahun kepada 15 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.