
Katanya, Adun daripada Pejuang Harumaini Omar didapati melanggar Perkara 69 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 apabila didapati tidak hadir enam bulan berturut-turut persidangan dalam Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Ke-14 pada 2022.
“Tarikh akhir berdasarkan rekod kehadiran sidang DUN Selangor, 28 Julai 2022 ketika itu, ada persidangan beliau (Harumaini) sudah tidak hadir.
“Maknanya dari situ berturut-turut sehingga persidangan bulan November, Disember dalam satu hari pun beliau tak datang,” katanya ketika dihubungi FMT.
Tetapi, pilihan raya kecil tidak akan diadakan kerana Selangor dijangka mengadakan pilihan raya negeri pada pertengahan tahun ini.
Ng berkata, Harumaini tidak hadir ke persidangan DUN tanpa memberikan notis apatah lagi mendapat kebenaran daripadanya pada keseluruhan sidang dari 23 hingga 30 Nov 2022; 1 hingga 2 Dis 2022, dan 5 hingga 6 Dis 2022.
Beliau berkata, merujuk kepada rekod kehadiran sidang DUN, kali terakhir pemimpin Pejuang itu hadir adalah pada 27 Julai 2022.
DUN Batang Kali dimenangi Harumaini atas tiket Bersatu pada PRU14 bersama Pakatan Harapan selepas mengalahkan calon Barisan Nasional Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan PAS Mohd Hasnizan Harun dengan majoriti 8,315 undi.
Beliau kemudian meninggalkan Bersatu untuk menyertai Pejuang pada Ogos 2020.
Dengan pengumuman pengosongan kerusi DUN Batang Kali, segala elaun, kemudahan dan keistimewaan diterima Harumaini sebelum ini ditarik balik.
Bagaimanapun, Ng berkata Harumaini masih layak menerima pencen Adun kerana perkhidmatannya melepasi tempoh ditetapkan.
Katanya, jika bekas Adun itu hadir sidang DUN walaupun sehari, mahupun sejam seperti bekas menteri besar Selangor Azmin Ali pada persidangan November lalu, perkara seperti itu tidak akan berlaku.
Pada 30 Nov 2022, Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa hadir ke sidang DUN buat kali pertama, sehari selepas Ng menegur beberapa Adun yang tidak menghadiri sidang yang bermula sejak 23 Nov 2022.
Ng berkata, tindakan seperti ini bukan kali pertama berlaku di DUN Selangor kerana terdapat duluan kes yang sama melibatkan Adun Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah pada 2011.
Pada 19 Jan 2011, bekas speaker DUN Selangor, Teng Chang Khim mengisytiharkan kerusi Pelabuhan Klang disandang Badrul Hisham kosong kerana kegagalannya menghadiri persidangan dalam tempoh enam bulan tanpa alasan munasabah, berdasarkan Perkara 69 dan 70 perlembagaan negeri dan tiada peruntukan untuk rayuan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram