
Lembaga Peperiksaan menerusi kenyataan memaklumkan, pelontar suara yang digunakan dalam membina item atau instrumen UMBI SPM 2022 terdiri dalam kalangan guru, pensyarah, murid sekolah atau penuntut universiti.
“Pelontar suara merupakan mereka yang berwibawa dalam berbahasa Inggeris. Mereka yang terlibat juga telah diberikan latihan sebelum proses pembinaan item atau instrumen UMBI SPM 2022.
“Sehubungan dengan itu, Lembaga Peperiksaan yakin bahawa kualiti bahan audio dan kertas soalan UMBI SPM 2022 kekal utuh.
“Lembaga Peperiksaan akan memastikan kepentingan dan keadilan kepada calon yang menduduki peperiksaan SPM 2022 adalah terjamin,” kata kenyataan itu.
Lembaga Peperiksaan memaklumkan, penggunaan bahan audio dan kertas soalan UMBI SPM tahun 2022 dibuat berdasarkan pertimbangan, antaranya format soalan adalah dalam pelbagai bentuk, iaitu objektif aneka pilihan, objektif pelbagai bentuk dan subjektif respon terhad.
Katanya, kadar kelajuan pertuturan pelontar suara bagi item atau instrumen adalah berdasarkan aras kompetensi Common European Framework of References for Languages (CEFR).
“Pembinaan item atau instrumen UMBI SPM 2022 ini berdasarkan kadar kelajuan pertuturan yang tipikal dan standard pertuturan dan perbualan. Di samping itu, aspek autentik pada penutur juga dititikberatkan dalam pembinaan item atau instrumen bagi mewujudkan konteks sebenar komunikasi.
“Praujian juga telah diadakan dan melibatkan murid sekolah di pelbagai lokasi sama ada bandar dan luar bandar bagi menentusahkan item atau instrumen adalah sesuai dan mencapai tahap kualiti yang ditetapkan,”katanya.
Terdahulu tular di media sosial ramai calon SPM tertekan apabila audio UMBI Kertas 3 Khamis lalu tidak berkualiti dengan sebutan percakapan yang tidak jelas.
Penggunaan Tiktokers dikatakan memberi impak kepada situasi itu hinggakan ada yang meluahkan perasaan tertekan menerusi media sosial dengan memuat naik video menconteng muka merujuk kepada pempengaruh, yang dilantik Lembaga Peperiksaan kerana tidak puas hati dengan cara pengendalian kertas berkenaan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram