
Loh Teng Shui, yang mewakili keluarga mangsa berkata, mereka masih menunggu jawapan mengenai apa yang sebenarnya berlaku.
“Kami tidak tahu jabatan mana yang harus dirujuk dan pihak berkuasa mana untuk dihubungi (untuk maklumat lanjut).
“Kami berharap kerajaan dapat menyediakan saluran betul untuk mendapatkan maklumat, bukannya mencari di tempat yang salah,” katanya pada sidang media.
Pada 19 Jan lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata laporan penuh kejadian itu dijangka siap akhir bulan lalu, tetapi tiada laporan didedahkan sehingga kini.
Media melaporkan bahawa laporan awal dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 4 Jan lalu.
Polis pada Disember lalu berkata, siasatan ke atas kejadian tanah runtuh itu siap 90%, tetapi tiada perkembangan dimaklumkan selepas itu.
“Berhubung siasatan polis, kami tidak dengar apa-apa mengenainya. Apa yang berlaku kepada siasatan itu? Adakah ia bersama laporan terbabit?
“Ini yang kami ingin tahu kerana tidak ada jalan untuk mendapatkan sebarang maklumat. Kami hanya boleh membaca laporan berita dan kecewa mengenainya,” kata Loh.
Beliau berkata, ahli keluarga mangsa bukan ingin mencari salah sesiapa, sebaliknya hanya mahu akauntabiliti.
“Kami juga mendapat tahu kawasan perkhemahan itu berada dalam ‘kawasan larangan’. Jika begitu, (awal-awal lagi) kami tidak sepatutnya berada di sana.
“Ini (kejadian) boleh dielakkan. Kami mahu penjelasan daripada laporan itu.”
Sementara itu, Loh berkata, sebahagian kenderaan yang tidak mengalami kerosakan akibat tanah runtuh itu, semuanya musnah selepas ditunda.
Selain kenderaan, katanya, barangan peribadi juga hilang.
“Ini lebih menyukarkan kami. Sepatutnya ada SOP mengenai cara mengendalikan kenderaan kami ketika bencana.
“Malah, sebuah syarikat tunda kenderaan mengenakan caj RM1,450 kepada ahli keluarga. Ini terlalu mahal dan kami tidak rasa ia adil kerana semua ahli keluarga sudah melalui begitu banyak perkara.”
Kejadian pada awal pagi 16 Dis lalu meragut 31 nyawa, termasuk 13 kanak-kanak. Seramai 61 lagi mangsa berjaya diselamatkan semasa operasi mencari dan menyelamat di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm.
Penemuan awal Kementerian Kerja Raya menunjukkan retakan di sepanjang jalan atas cerun bukit dan pengumpulan air bawah tanah di bawah tapak perkhemahan mungkin menyebabkan tanah runtuh.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram