Ismail tak pertahan jawatan naib presiden Umno

Ismail tak pertahan jawatan naib presiden Umno

Dua lagi penyandang naib presiden Umno, Khaled Nordin dan Mahdzir Khalid sudah menyerahkan borang pencalonan untuk mempertahankan jawatan nombor tiga parti itu.

Ismail Sabri Yaakob enggan mengulas sebab beliau tidak mempertahankan jawatan nombor tiga Umno.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob tidak akan mempertahankan jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan parti bulan depan.

Malaysiakini melaporkan Ahli Parlimen Bera itu enggan mengulas sebab beliau berbuat demikian.

Katanya, kenyataan media akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Selain Ismail, dua lagi penyandang, Khaled Nordin dan Mahdzir Khalid sudah menyerahkan borang pencalonan untuk mempertahankan jawatan nombor tiga itu.

Ismail dilantik sebagai naib presiden Umno pada 2018, selepas meraih undi tertinggi dari semua bahagian di seluruh negara pada pemilihan parti tahun itu berbanding Mahdzir dan Khaled.

Selain Khaled dan Mahdzir, tujuh pemimpin lain turut menyerahkan borang pencalonan untuk merebut tiga slot jawatan itu setakat semalam.

Mereka ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Azalina Othman Said, Reezal Merican Naina Merican, Shamsul Anuar Nasarah dan Zambry Abdul Kadir, Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari Ghani, Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dan bekas menteri besar Johor, Hasni Mohammad.

Pencalonan bagi pemilihan Umno yang bermula 13 Feb lalu, ditutup 5 petang tadi.

Pemilihan bagi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri akan diadakan 11 Mac ini, manakala Umno bahagian dan MKT pada 18 Mac nanti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.