Sedia banyak dana lagi untuk bantu mahasiswa miskin, kata NGO

Sedia banyak dana lagi untuk bantu mahasiswa miskin, kata NGO

Arus Anak Muda berkata tidak semua mahasiswa di universiti dan kolej swasta berada dalam keadaan selesa.

Arus Anak Muda berkata mahasiswa daripada golongan berpendapatan rendah memerlukan biasiswa dan bentuk bantuan lain.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan belia berkata Belanjawan 2023 sepatutnya memperuntukkan lebih banyak dana untuk mengurangkan beban kewangan pelajar universiti, termasuk mereka yang belajar di institusi swasta.

Arus Anak Muda, NGO yang memberi tumpuan kepada celik pendidikan dan politik, berkata tidak semua mahasiswa di universiti dan kolej swasta berada dalam keadaan selesa.

Jurucakapnya, Ahmad Ashraff Fahmy Zulhery Fahmy, berkata sebilangan pelajar itu, terutamanya bukan Bumiputera, tidak dapat mendapat tempat di universiti awam.

“Adalah lebih baik untuk menawarkan biasiswa kepada pelajar ini, terutama mereka yang berpendapatan rendah,” katanya.

Ashraff juga berkata pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak selalunya mencukupi untuk menampung yuran pengajian di sesetengah universiti, apatah lagi kos sara hidup.

Itulah sebabnya beliau berharap Putrajaya akan mempertimbangkan bantuan kewangan sekali sahaja antara RM100 dan RM200 setiap semester untuk pelajar itu.

“Elok juga jika mereka dapat diberikan baucar buku atau diskaun untuk gajet,” katanya.

Beliau mengalu-alukan inisiatif eBelia, yang menawarkan RM200 dalam bentuk kredit e-dompet kepada mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun, tetapi berkata ia perlu diperluaskan kepada semua pelajar universiti tanpa mengira usia mereka.

Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan berkata Putrajaya perlu menambah baik perkhidmatan internet di kampus seluruh negara, terutama di luar Lembah Klang.

Presidennya, Zakir Abdul Razak, berkata perkhidmatan internet yang lebih baik juga akan membantu mengurangkan kos sara hidup.

“Pelajar akan dapat mengurangkan perbelanjaan bulanan mereka untuk pelan internet mudah alih,” katanya.

Pada bulan Januari, New Straits Times melaporkan bahawa pelajar di institusi pengajian tinggi terpaksa bersabar dengan akses internet yang lemah di kampus, dan terpaksa berbelanja lebih kemudahan itu di tempat lain atau membayar perkhidmatan tambahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.