
Rafizi berkata, Akta Laut Wilayah menyatakan kerajaan negeri hanya layak mendapat royalti minyak jika petroleum ditemui dalam lingkungan tiga batu nautika dari pantai negeri itu.
“Bagaimanapun, majoriti penemuan minyak dan gas di negara ini adalah di luar lingkungan ini,” katanya dalam sidang media.
Beliau berkata, 50% dana Putrajaya untuk pembangunan infrastruktur bawah Belanjawan 2023 diperuntukkan kepada negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Sabah, Sarawak dan Perlis.
“Pembangkang patut baca (perkara ini) secara terperinci sebelum membuat komen, kerana ia memalukan,” katanya.
Malam tadi, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan harus memberi royalti minyak kepada semua negeri yang mengeluarkan minyak dan gas.
Katanya, Terengganu antara negeri pertama petroleum ditemui selepas Sabah dan Sarawak.
Hadi berkata, Putrajaya perlu menghormati hak kerajaan negeri.
Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin juga bertanya adakah kerajaan akan menyalurkan hasil minyak terus ke Kelantan dan Terengganu.
Katanya, itu yang dilakukan oleh kerajaannya sebelum ini.
Membalas pertanyaan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, memberitahu Dewan Rakyat Kelantan dan Terengganu tidak layak mendapat 5% royalti daripada hasil petroleum kerana Petronas menggali minyak mentah di luar had tiga batu nautika.
Sementara itu, Rafizi berkata, Kementerian Kewangan akan memastikan “keseimbangan” ditetapkan dalam cadangan cukai barangan mewah susulan desakan supaya pelancong asing dikecualikan daripada cukai itu.
“Kami akan membuat keseimbangan dan (pengecualian untuk pelancong) akan diambil kira,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin, yang memberi amaran mengenakan cukai barangan mewah kepada pelancong boleh menyebabkan Malaysia menjadi kurang menarik untuk pelancong asing terutama dari China.
Putrajaya merancang melaksanakan cukai itu tahun ini bawah Belanjawan 2023 dengan mengenakan cukai terhadap barangan fesyen mewah seperti jam tangan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram