HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Hargai peranan veteran lawan komunis, Ahli Parlimen rayu segera selaras pencen

-

Khlir Mohd Nor merayu menteri pertahanan menyelesaikan isu penyelarasan pencen veteran tentera, tidak kira berapa jumlah belanjawan diperuntukkan.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Ahli Parlimen Ketereh, Khlir Mohd Nor berkata, tidak kira belanjawan besar atau sebaliknya, penyelarasan pencen veteran tentera mesti diselesaikan secepat mungkin.

KUALA LUMPUR:
Seorang wakil rakyat pembangkang mencuri tumpuan Dewan Rakyat apabila menceritakan pengalamannya menentang komunis, termasuk terpaksa memikul mayat rakannya ketika berperang.

Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) menceritakan kisahnya ketika menyuarakan kekecewaan veteran Angkatan Tentera (ATM) yang masih ternanti-nanti janji penyelarasan pencen sejak sekian lama, seolah-olah pengorbanan mereka melawan komunis tidak dihargai.

“Saya pernah bertempur dengan komunis. Seorang daripada anggota saya mati. Aku pikul mayat dia. Dua pengganas komunis mati.

“(Tetapi) apa jadi pada penyelarasan pencen dia? Kebanyakan mereka yang berkhidmat semasa darurat dah berumur 70 tahun ke atas sekarang. Jadi, mereka ini ternanti-nanti.

“Bajet besar atau tidak, kita kena selesaikan juga benda ini menteri. Tolonglah saya,” katanya, menyebabkan suasana Dewan Rakyat sepi seketika.

Beliau berkata demikian ketika mencelah penggulungan Belanjawan 2023 oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Hasan di Dewan Rakyat.

Mohamad berkata, isu itu merupakan fokus Kementerian Pertahanan dan berjanji pihaknya sedang berusaha merangka formula sesuai untuk penyelarasan pencen veteran ATM direalisasikan, di samping mengimbangi kemampuan kewangan kerajaan.

Katanya, jumlah yang diperlukan untuk melaksanakan penyelarasan pencen veteran ATM bakal mencecah berbilion ringgit.

“Kami sedang mencari formula kerana kami tak mahu sekadar hantar saja, kemudian ditolak. Kita nak melihat isu ini diselesaikan. Kalau tak dapat banyak, sikit pun tak apalah, asalkan dapat.

“Pada masa sama, kita turut usahakan dengan cara lain. Kita telah cadangkan dan dijangka lulus supaya penambahan jumlah penerima bantuan sara hidup bulanan RM300 kepada veteran ATM, sama ada berpencen atau tidak berpencen, dinaikkan daripada 9,000 kepada 15,000 penerima,” katanya.

Beliau memaklumkan, veteran berusia 80 tahun ke atas terlebih dahulu layak menerima bantuan itu, sementara menunggu penyelesaian menyeluruh dicapai bagi membantu golongan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.