
Menteri Mohd Na’im Mokhtar menyeru Jabatan Kehakiman Malaysia, mahkamah syariah, dan peguam mencari idea bagaimana nak pastikan tempoh penyelesaian suatu kes dapat dipendekkan.
“Kita bimbang kezaliman akan berlaku … lagi panjang kes itu berlanjutan akan menyebabkan kezaliman kepada pihak-pihak terlibat,” katanya kepada pemberita, selepas melancarkan Program Konsultasi Guaman Syariah Percuma sempena Ramadan.
Beliau berkata mahkamah dan peguam harus berkongsi matlamat yang sama dan bekerjasama.
“Kena pandai imbangkan antara bagaimana nak mempercepatkan kes tapi dalam masa sama tidak memprejudiskan keadilan,” tambahnya.
Sementara itu, Program Konsultasi Guaman Syariah Percuma sempena Ramadan merupakan khidmat perundingan percuma untuk pihak yang berurusan dengan mahkamah syariah, khususnya bagi golongan B40.
Matlamat program oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) ini agar golongan kurang berkemampuan mendapat akses kepada keadilan.
Na’im berharap program itu dapat mengurangkan risiko pergaduhan antara pihak yang terlibat dalam perbicaraan, seperti pasangan bercerai.
“Kalau perceraian itu berlaku biar ia akan berlaku secara baik, itu kita nak lahirkan melalui program ini,” katanya kepada pemberita.
“Bila dibantu oleh orang yang mahir maknanya proses penceraian tadi itu berjalan dengan baik. Tak ada lah bila sudah bercerai, habis tak boleh berhubungan langsung, terutama melibatkan pasangan yang ada anak.”