
Susulan itu, hakim perbicaraan Azahar Abdul Hamid mengarahkan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis mereka, selewat-lewatnya pada 3 Apr.
“10 dan 11 Apr ditetapkan untuk hujahan lisan dan penjelasan,” kata Azahar.
Terdahulu, peguam utama Gobind Singh Deo memberitahu mahkamah, pihak pembelaan memilih tidak memanggil pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ihsan Sapuan untuk memberi keterangan.
Pasukan pembelaan sebelum ini telah mengenal pasti Ihsan sebagai saksi kelima dan terakhirnya, tetapi memutuskan untuk tidak memanggilnya, dan memaklumkan hakim berhubung hasrat menutup kes itu.
Syed Saddiq, 30, didakwa bersubahat dengan penolong bendahari Pemuda Bersatu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dengan dana RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Jalan Stesen Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.
Beliau juga didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun bank milik ABBE untuk dirinya dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 dan 21 Apr 2018.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan pengubahan wang membabitkan dua transaksi RM50,000 setiap satu, dipercayai hasil aktiviti haram, dengan memindahkannya daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun ASB miliknya, di sebuah bank di Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.
Pada 28 Okt, Ahli Parlimen Muar itu diperintahkan membela diri atas semua pertuduhan kerana pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Tiga puluh saksi memberikan keterangan untuk pendakwaan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram