
Peguam Lim berkata, perbualan antara Zarul Ahmad Zulkifli dan ahli perniagaan G Gnanaraja perlu bagi pembelaannya.
Laporan forensik perbualan WhatsApp antara dua individu itu dikemukakan sebagai bukti dalam kes jenayah berasingan di Mahkamah Sesyen Shah Alam yang menyaksikan Gnanaraja didakwa kerana menipu Zarul sebanyak RM19 juta.
Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim dan pihak pendakwaan.
“Saya memerlukan sedikit masa untuk meneliti (penghujahan),” katanya.
Pihak pembelaan berhujah, perbualan itu relevan kerana Zarul sedang memberi keterangan untuk pendakwaan, dan Gnanaraja juga dijangka dipanggil sebagai saksi dalam kes itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib hari ini memberitahu mahkamah, pihak pembelaan sudah memiliki laporan itu dan permohonan laporan forensik itu tidak lebih daripada “memancing maklumat”.
“Mereka boleh bertanya tentang kandungan (perbualan WhatsApp) apabila Zarul kembali ke mahkamah,” kata Akram.
“Kami akan memanggil Gnanaraja sebagai saksi kami,” tambahnya.
Hentikan serangan peribadi, Akram memberitahu Gobind
Akram turut merayu Gobind menghentikan serangan peribadi terhadap pasukan pendakwaan.
“Banyak kali beliau menyerang kami secara peribadi. Kami hanya menjalankan tugas kami sebagai pegawai mahkamah.
“Biarlah kami menjalankan kes berdasarkan fakta dan bukti di mahkamah,” katanya sambil menambah anggota dalam pasukan pendakwaan tidak mempunyai kepentingan peribadi terhadap kes Lim.
Pendakwaan membuatkan saksi ‘berbohong’ dalam perbicaraan Lim, kata Gobind
Gobind mendakwa perbualan WhatsApp antara Gnanaraja dan Zarul penting untuk pembelaan, sambil menambah perbualan itu akan menunjukkan Lim tidak pernah diberi RM2 juta seperti didakwa.
Beliau menyifatkan keengganan pihak pendakwaan mendedahkan perbualan itu seolah-olah menyembunyikan bukti.
“Dua saksi (Azli Adam dan Ibrahim Sahari) telah memberi keterangan dalam kes Gnanaraja, di mana mereka berkata RM2 juta diberikan kepada Gnanaraja.
“Pihak pendakwaan mendiamkan diri dan menyembunyikan perbualan itu daripada mahkamah hari ini,” dakwanya.
“Adakah mereka mengelirukan mahkamah?” tanya Gobind.
Beliau turut menuduh pihak pendakwaan memaksa saksi berbohong ketika perbicaraan Lim dalam cubaan untuk mencipta cerita berbeza.
“Amat memalukan untuk mendapatkan saksi berbohong,” kata Gobind.
Lim sedang dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta Zarul mendapatkan 10% keuntungan daripada projek jalan raya dan terowong itu.
Bekas menteri kewangan itu juga didakwa meminta suapan RM3.3 juta untuk melantik syarikat Zarul menjalankan projek itu.
Dia juga menghadapi dua pertuduhan menyeleweng RM208.7 juta nilai tanah negeri yang diberikan kepada dua syarikat secara tidak jujur.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram