HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Saya terpaksa tandatangan dokumen sehari sebelum pencalonan PRU14, kata Zuraida

-

Bekas naib presiden PKR berkata dokumen itu diserahkan kepadanya untuk ditandatangani tanpa diberi penerangan mengenai terma atau syarat.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Zuraida Kamaruddin berkata tidak masuk akal PKR membelanjakan RM10 juta untuk beliau saja bagi PRU14.

KUALA LUMPUR:
Bekas naib presiden PKR, Zuraida Kamaruddin memberitahu Mahkamah Tinggi beliau terpaksa menandatangani beberapa dokumen disediakan parti itu sehari sebelum penamaan calon bagi PRU14.

Zuraida, 65, berkata dokumen itu diserahkan kepadanya untuk ditandatangani tanpa diberi penerangan mengenai terma atau syarat.

“Waktu itu memang saat-saat getir dan saya tidak mempunyai kesempatan untuk membaca mahupun meneliti dengan baik isi kandungan dokumen yang saya tandatangani.

“Saya hanya diberitahu saya perlu menandatangani dokumen tertentu untuk membolehkan saya bertanding di bawah nama PKR, membuatkan saya berfikir ia hanyalah dokumen biasa tentang kebenaran untuk saya bertanding menggunakan nama parti itu dan saya sama sekali tidak diberikan apa-apa pilihan lain, selain menandatangani dokumen disediakan parti.

“Ketika itu, saya telah menandatangani dokumen tersebut di bawah paksaan tanpa diberikan pilihan sebenar kerana saya ingin terus memberikan perkhidmatan saya kepada rakyat, khususnya di kawasan Parlimen Ampang.”

Zuraida berkata, secara jujurnya, beliau tidak tahu sama ada telah menandatangani bon bernilai RM10 juta yang mengikatnya kepada parti atau dokumen lain.

Bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya dalam perbicaraan kes saman difailkan PKR terhadapnya yang didakwa melanggar syarat bon itu di hadapan Hakim Akhtar Tahir.

Selaku defendan dalam kes saman itu, Zuraida turut menegaskan beliau tidak menandatangani mana-mana dokumen berhubung PRU14 atas pilihan sendiri dan tidak akan memilih untuk menandatangani dokumen itu, jika diberikan pilihan sebenar.

“Begitu juga dengan calon-calon PKR yang lain, mereka juga tidak mempunyai pilihan sebenar, melainkan menandatangani dokumen yang disediakan parti jika ingin bertanding semasa PRU14,” katanya sambil menambah dokumen berhubung PRU14 disediakan dan ditetapkan parti secara unilateral (sebelah pihak).

Ahli politik itu berkata, tidak masuk akal PKR membelanjakan RM10 juta untuk beliau saja bagi PRU14, selain mendakwa tuntutan PKR dalam saman itu tidak berasas dan cubaan jahat ia mengambil kesempatan bagi mengkayakan parti.

“Saya tidak mempunyai pengetahuan tentang jumlah (wang) yang dibelanjakan oleh PKR dan saya tidak menerima apa-apa wang perbelanjaan daripada parti untuk menjalankan kempen semasa PRU14.

“Jika saya ingin mengupas perbelanjaan yang dibelanjakan menggunakan wang keringat sendiri untuk kempen pilihan raya sepanjang penglibatan saya di bawah parti itu, saya boleh nyatakan di sini bahawa jumlah tersebut tidak terhitung.

“Namun, saya tidak pernah menganggap perkara itu membebankan kerana saya percaya kepada matlamat parti. Seingat saya, sepanjang saya bertanding di bawah PKR, saya hanya pernah menerima sekali saja dana daripada Anwar Ibrahim (presiden PKR) sebanyak RM10,000 untuk digunakan sebagai dana kempen PRU pada 2008.

“Selepas itu, tiada lagi wang diterima daripada PKR dan saya terpaksa menggembleng tenaga dan masa penyokong saya mencari dana untuk berkempen, termasuklah untuk PRU14. Ibu pejabat PKR juga pernah tidak cukup wang untuk bayar gaji kakitangan parti dan pihak pengurusan pejabat menghubungi saya meminta bantuan sebanyak RM40,000.”

Mengenai tuntutan RM10 juta oleh PKR, beliau menyifatkan tuntutan itu tidak berasas, sangat melampau dan tidak munasabah.

Pernyataan tuntutan PKR yang difailkan pada 28 Sept 2020 mendakwa Zuraida menandatangani bon itu yang mengikat dirinya membayar RM10 juta berdasarkan terma dan syarat bon berkenaan.

PKR mendakwa Zuraida bersetuju membayar parti RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Mahkamah menetapkan 23 Jun ini untuk keputusan.

Pada prosiding yang berlangsung dalam talian itu, Zuraida diwakili peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid, manakala PKR diwakili peguam Navpreet Singh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.