
Rauf yang mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Melaka ke-13 petang ini berkata, beliau belum dapat apa-apa panduan lagi daripada Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengenai perkara itu.
“Selepas saya mendapat panduan, saya akan ambil petua tersebut untuk merangka barisan exco kerajaan ini,” katanya kepada wartawan selepas majlis angkat sumpah.
Katanya, exco sedia ada akan dibubarkan dan barisan baru akan diumumkan dalam tempoh 48 jam.
BN dan Pakatan Harapan (PH) adalah sebahagian kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Sehingga hari ini, BN dan PH sudah menubuhkan kerajaan perpaduan di Perak dan Pahang.
Sementara itu, Rauf berkata, program yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu akan diteruskan.
“Bagi meningkatkan ekonomi, saya berikrar untuk menjadikan Melaka mesra pelabur dan perniagaan,” kata Adun Tanjung Bidara itu.
Apabila ditanya adakah BN akan mengambil tindakan terhadap Adun Rembia, Jailani Khamis yang berkata “ketua menteri pintu belakang” Rauf menjawab: “Tunggu dan lihat.”
Rauf dilantik sebagai ketua menteri selepas Sulaiman Ali meletak jawatan semalam.
Sulaiman kali pertama mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Melaka pada Mac 2020 selepas Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan PH di persekutuan dan juga di Melaka.
Beliau dilantik sekali lagi ke jawatan itu selepas BN menang besar dalam pilihan raya negeri Melaka pada Nov 2021.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram