HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Malaysia raih komitmen pelaburan RM170 bilion dari China, kata PM

-

Anwar Ibrahim berkata ini komitmen tertinggi dalam sejarah itu menunjukkan keyakinan pelabur terhadap negara ini.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyaksikan majlis menandatangani MoU antara perniagaan China dan Malaysia pada Forum Perniagaan Malaysia-China hari ini. (Gambar Bernama)

BEIJING:
Malaysia meraih komitmen pelaburan yang tertinggi bernilai RM170 bilion dari China.

Jumlah itu, yang terbesar setakat ini dari China, adalah daripada sejumlah 19 Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara perniagaan di China dan Malaysia.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap negara ini.

“Kita mencapai komitmen pelaburan sebanyak RM170 bilion dari China. Saya perlu berterima kasih kepada para pelabur kerana memberikan kerjasama mereka dan keyakinan terhadap kita.

“Ini adalah acara bersejarah. Ia baik untuk Malaysia dan masa depan,” katanya ketika mengumumkan perkara itu pada Forum Perniagaan Malaysia-China, yang dihadiri kira-kira 1,000 pemimpin perniagaan dari kedua-dua negara.

Perdana menteri kini pada hari terakhir dalam lawatan tiga hari ke sini untuk meningkatkan hubungan politik dan perdagangan dua hala yang strategik dengan China.

Terdahulu, dalam ucaptama pada forum itu, Anwar menggesa pelabur dan pemimpin perniagaan China untuk memanfaatkan hubungan dua hala yang kukuh dan merebut peluang yang luas ditawarkan oleh kerajaan semasa untuk melabur di Malaysia.

“Saya memberi jaminan bahawa di bawah pengawasan saya, kami akan memastikan kemudahan menjalankan perniagaan dan melaksanakan pelaburan di Malaysia akan berada pada tahap optimum.

“Oleh itu, bina lebih banyak kerjasama dengan syarikat Malaysia, terutamanya dalam sektor strategik untuk memacu hubungan yang lebih baik,” katanya.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 14 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan sebanyak USD110.6 bilion (RM488 bilion) pada 2022.

Dari segi pelaburan, China merupakan pelabur langsung asing terbesar di Malaysia pada tahun lepas, dengan pelaburan berjumlah USD12.5 bilion (RM55.16 bilion).

Menurut statistik daripada Kementerian Luar Negeri, jumlah eksport ke China meningkat 9.4% kepada RM210.62 bilion (USD47.84 bilion) pada 2022 manakala import dari China berjumlah RM276.50 bilion (USD62.78 bilion) pada tahun yang sama, peningkatan 20.7% berbanding tahun sebelumnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.