
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Ahli Parlimen PN, Dr Ahmad Yunus Hairi membuat gesaan itu bagi memastikan sistem kesihatan berada dalam keadaan baik dan cemerlang susulan sekumpulan doktor kerajaan merancang mengadakan mogok di seluruh negara bermula 3 hingga 5 April.
“Mereka sudah tidak mampu untuk bersabar kerana sudah bertahun menunggu, termasuklah menanti pembentangan kertas putih kesihatan yang dijangka pada Jun
“Pihak jawatankuasa juga merasakan bahawa Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan harus ditubuhkan dengan kadar segera, berfungsi secara aktif dan melakukan reformasi kesihatan awam negara dan bukannya menunggu sehingga kertas putih kesihatan dibentangkan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut mengingatkan kerajaan supaya tidak menghukum kakitangan awam yang terlibat dengan mogok tersebut.
“Sayugia diingat dan diharapkan bahawa tunjuk perasaan yang tidak mengganggu ketenteraman awam adalah satu cetusan dan luahan yang normal dalam sistem demokrasi.
“Pada masa yang sama, kami juga menasihati peserta mogok agar menjaga diri masing-masing supaya dapat terus berkhidmat untuk rakyat. Kami percaya, cetusan rasa ini didorong oleh rasa cinta pengamal kesihatan awam untuk terus berbakti kepada rakyat,” katanya.
Yunus berkata, pihaknya menyeru kerajaan untuk bersama-sama pembangkang berganding bahu menyelesaikan masalah itu bersama-sama demi kelangsungan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.
Katanya, tinjauan Jawatankuasa Kesihatan Ahli-ahli Parlimen PN mendapati persekitaran kerja dan manfaat yang diterima pengamal kesihatan awam adalah di tahap amat mendukacitakan.
“Sistem aduan bagi menyampaikan rungutan mereka juga tidak berfungsi dengan baik. Ini menjejaskan jasmani, minda dan emosi kakitangan kesihatan awam, seterusnya merendahkan mutu sistem kesihatan awam negara.
“Selain itu, dalam keadaan ekonomi global yang semakin mencabar, adalah sesuatu yang merugikan semua pihak jika perkara ini boleh menyumbang ke arah kenaikan penghijrahan tenaga kerja terlatih dan pakar,” katanya.
Sebelum ini Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, menggesa kumpulan berkenaan supaya tidak melakukan mogok, sambil menyatakan ia bukan penyelesaian terbaik melibatkan pelbagai isu dalam sistem penjagaan kesihatan awam.
Hisham berkata, perkhidmatan kesihatan adalah sektor kritikal dan begitu juga petugas kesihatan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram