
Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, berkata kempen itu akan diadakan bagi menjelaskan kepada rakyat yang langkah itu bercanggah Akta KWSP 1991.
“Kami akan jelaskan (kepada) rakyat, kerajaan buat satu dasar bercanggah dengan undang-undang,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.
“Akta KWSP tak benarkan. Itu nak jelaskan. Siapa nasihatkan menteri kewangan (Anwar Ibrahim), adakah (beliau) tak dinasihatkan atau mendapat nasihat yang salah.”
Takiyuddin turut tidak berpuas hati apabila usul supaya Perdana Menteri Anwar Ibrahim dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana membuat kenyataan mengelirukan, ditolak di Dewan Rakyat.
Kenyataan yang dikatakan mengelirukan itu adalah langkah membenarkan wang caruman digunakan sebagai sandaran kepada bank untuk pembiayaan kewangan tidak bercanggah dengan Akta KWSP.
“(Kita) bawa usul penting, perdana menteri telah buat kenyataan kelirukan dewan,” katanya.
Terdahulu, hampir semua Ahli Parlimen pembangkang keluar Dewan Rakyat sebagai tanda protes selepas usul dikemukakan untuk membincangkan pengeluaran KWSP secara bersasar ditolak.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, usul itu perlu dibahaskan hari ini kerana sidang Dewan Rakyat akan tamat esok, namun Timbalan Speaker Alice Lau Kiong menolak kerana keputusan sudah dibuat Speaker Johari Abdul.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram