
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebarang dakwaan mengenai wujudnya kegiatan jual beli organ di negara ini perlu dianggap amat serius kerana merupakan eksploitasi terhadap golongan tertentu dan bercanggah dengan etika perubatan.
“Jika terdapat aktiviti melibatkan pemerdagangan orang untuk tujuan jual beli organ, ianya perlu disiasat di bawah Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran 2007,” katanya dalam kenyataan.
“Pihak berkuasa boleh mengambil tindakan menggunakan peruntukan sedia ada terhadap mana-mana pihak atau individu jika pemerdagangan orang berlaku untuk tujuan pengalihan organ secara haram.”
Menurutnya, Malaysia telah menandatangani Declaration of Istanbul on Organ Trafficking and Transplant Tourism (2008), yang menekankan bahawa komersialisasi transplantasi organ hendaklah dilarang kerana ia mensasarkan golongan miskin dan lemah yang menjurus kepada ketidakadilan.
“Sebarang amalan yang menyasarkan individu atau golongan ini sebagai penderma organ dilihat sebagai menggalakkan pemerdagangan organ, ‘transplant tourism’ dan komersialisasi transplan,” katanya.
Noor Hisham berkata, KKM konsisten dengan kewajipan negara dan antarabangsa, serta tidak menyokong mana-mana individu atau organisasi yang terlibat dalam kegiatan perolehan organ secara haram dan tidak beretika.
Kenyataan itu menyusuli dakwaan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN) pada sidang media di Parlimen Selasa lepas ketika mendesak kerajaan meluluskan sekali lagi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Kalau tidak dapat beri keizinan untuk pengeluaran bersasar (KWSP), apakah cadangan lanjut daripada kerajaan untuk membantu kerajaan bantu rakyat yang susah, yang resah?
“Bahkan, sampai ada yang jual buah pinggang, yang datang berjalan dari Johor ke Istana Negara,” kata Wan Ahmad Fayhsal.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram