HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

RM1 juta dana Bersatu dibelanja untuk kebajikan, bukan Syed Saddiq, mahkamah diberitahu

-

Gobind Singh Deo berkata, wang yang dikeluarkan daripada akaun Pemuda Bersatu pada Mac 2020 digunakan untuk membantu rakyat yang terjejas oleh wabak Covid-19.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sedang dibicarakan atas empat tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

KUALA LUMPUR:
Pihak pembelaan dalam kes pecah amanah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, sejumlah RM1 juta milik Pemuda Bersatu dibelanjakan bagi tujuan kebajikan, bukan untuk faedah peribadi Ahli Parlimen Muar itu.

Gobind Singh Deo selaku peguam berkata, RM1 juta itu dikeluarkan daripada akaun Pemuda Bersatu pada 6 Mac 2020 untuk membantu rakyat yang terjejas akibat wabak Covid-19 dan sekatan mengejut yang dikenakan kerajaan sebagai langkah membendung penularan virus.

“RM1 juta itu bukan bawah kawalan langsung tertuduh (Syed Saddiq) dan dia tidak menerima satu sen pun daripadanya,” katanya pada penutup pembelaan Syed Saddiq.

Bekas ketua Pemuda Bersatu itu sedang dibicarakan atas empat tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram. Dia didakwa melesapkan sejumlah RM1.12 juta milik Bersatu.

Daripada jumlah itu, RM120,000 dikatakan dana parti untuk PRU 2018, manakala baki RM1 juta lagi didakwa dikeluarkan oleh Syed Saddiq tanpa persetujuan pucuk pimpinan.

Dia juga mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM100,000.

Gobind memberitahu mahkamah, Syed Saddiq dan bekas penolong bendahari Pemuda Bersatu Rafiq Hakim Razali bertindak atas kepentingan parti untuk membantu orang ramai semasa wabak.

“Pihak pendakwaan tidak boleh mengatakan dia (Syed Saddiq) bersubahat dengan Rafiq melesapkan wang RM1 juta itu,” katanya.

“Versi mereka adalah (Syed Saddiq) mengarahkan Rafiq mengeluarkan wang itu tanpa sebarang usul dibuat kepada Bersatu

“Malah, Rafiq memberikan keterangan bahawa tiada sebarang usul perlu dibentangkan sekiranya wang itu diperlukan untuk ‘kegunaan kecemasan’; dalam kes ini, wabak Covid-19,” katanya.

Mahkamah juga sebelum ini mendengar bahawa Rafiq dan Ahmad Redzuan Shafi, penolong setiausaha Pemuda Bersatu ketika itu, pergi ke cawangan CIMB KL Sentral pada 6 Mac 2020 untuk mengeluarkan RM1 juta daripada akaun sayap pemuda itu.

Rafiq berkata, pengeluaran wang itu dilakukan atas arahan Syed Saddiq.

Bagi tuduhan melesapkan RM120,000 daripada sebuah entiti yang dikaitkan dengan Pemuda Bersatu, Gobind memberitahu mahkamah, wang itu sebagai “bayaran balik” kepada Syed Saddiq.

Peguam itu berkata, Syed Saddiq membelanjakan wang sendiri untuk membiayai kempen PRU 2018 di Muar, dan beliau mengadakan acara mengumpul dana untuk mendapatkan jumlah itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azhar Abdul Hamad bersambung esok, apabila Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin menjawab pembelaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.