Penjawat awam, adik ipar direman bantu siasatan salah guna kuasa

Penjawat awam, adik ipar direman bantu siasatan salah guna kuasa

Kes membabitkan salah guna kuasa bagi mendapatkan beberapa perolehan pembekalan di sebuah jabatan persekutuan sejak 2019.

Seorang penjawat awam dan adik iparnya dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu untuk permohonan perintah reman hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Seorang kakitangan awam dan adik iparnya direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa bagi mendapatkan beberapa perolehan pembekalan di sebuah jabatan persekutuan sejak 2019.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nik Tarmizie Nik Mohd Sukri terhadap ketua pembantu tadbir berusia 44 tahun itu, dan adik iparnya, pemilik syarikat berusia 39 tahun.

Kedua-dua wanita itu masing-masing ditahan pada 1.45 tengah hari dan 2.10 petang Isnin di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu ketika hadir memberikan keterangan.

Menurut sumber SPRM, kes salah guna kuasa itu dipercayai telah berlaku sejak 2019 dan melibatkan lebih 10 perolehan pembekalan yang keseluruhannya mencecah kira-kira RM30,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, dan pesalah boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.