HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Mahkamah cadang Dr M, Zahid selesai saman fitnah tanpa bicara

-

Pengurusan kes ditetapkan 14 Jul bagi memaklumkan kemungkinan kedua-dua pihak akan membuat rundingan.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual mendengar dua saman fitnah membabitkan Dr Mahathir Mohamad (kiri) dan Zahid Hamidi, pada September dan November ini.

KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi mencadangkan Dr Mahathir Mohamad dan Zahid Hamidi menilai kemungkinan mencapai penyelesaian dua saman fitnah antara mereka daripada meneruskan bicara di mahkamah.

Peguam Mahathir Mior Nor Haidir Suhaimi, berkata Penolong Pendaftar Afidah Idris meminta kedua-dua pihak menilai pilihan itu dalam pengurusan kes, hari ini.

“Saya memberitahu penolong pendaftar belum ada lagi arahan seperti dicadangkan daripada anak guam saya,” katanya kepada FMT.

Afidah menetapkan 14 Jul untuk satu lagi pengurusan kes bagi memaklukan kepada mahkamah kemungkinan kedua-dua pihak akan membuat rundingan.

Zahid yang juga presiden Umno dan timbalan perdana menteri diwakili peguam, Hanis Afiqah Razali.

Mahkamah sebelum ini menetapkan empat hari perbicaraan bermula 11 Sept untuk mendengar saman Mahathir terhadap Zahid berkait kenyataan menghinanya apabila menggunakan perkataan “Kutty”, merujuk kepada bekas perdana menteri itu.

Dalam penyataan tuntutan, Mahathir mendakwa Zahid telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat Umno Bahagian di Kelana Jaya, pada 30 Jul 2017,

Mahathir mendakwa, kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud beliau bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty”.

Dalam penyataan pembelaan, Zahid berkata, nama “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty” merujuk seorang individu berdasarkan maklumat dalam salinan kad pengenalan lama, selain mendakwa beliau juga tidak mempunyai kawalan ke atas sebarang penerbitan video berhubung kenyataannya di platform media.

Dalam pada itu, Mahathir disaman susulan mendakwa Zahid meminta pertolongannya untuk “menggugurkan” pertuduhan rasuah.

Mahkamah Tinggi menetapkan empat hari perbicaraan bagi saman itu, bermula 6 Nov.

Pada 23 Feb 2022, dalam sidang media, Mahathir mendakwa Zahid dan beberapa lagi bertemu dengan beliau di kediamannya selepas PRU14 2018.

Beliau mendakwa Zahid mahu “berdamai” dengannya sebelum Mahathir dilantik menjadi perdana menteri bagi kali kedua, pada Mei 2018.

Zahid mendakwa, kenyataan Mahathir tidak benar, tidak berasas, dan berniat jahat.

Mahathir dalam pembelaannya, kekal dengan kenyataan itu dan menyatakan akan melawan saman dikemukakan.

Kedua-dua saman itu dijadual didengar di hadapan Hakim Rozana Ali Yusoff.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.