
Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahaya, berkata Sanusi juga akan menjadi wajah hadapan atau “poster boy” PN pada PRN itu yang dijangka diadakan Julai ini.
Katanya, sokongan berterusan rakyat Kedah akan menjadi pemangkin kepada kejayaan PN dan ia tidak mustahil.
“Misi ini akan turut memberikan impak langsung kepada negeri lain ditadbir PH (Pakatan Harapan) seperti Pulau Pinang,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau yang juga ketua Dewan Ulama PAS Pusat berkata, pihaknya yakin sokongan berterusan pengundi turut akan memberi kesan di negeri dikuasai PH seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, yakin ketegasan Sanusi menegakkan kebenaran menjadi sebab mengapa tekanan politik berterusan diarahkan kepada menteri besar Kedah itu ketika ini.
Katanya, perkara itu berlaku kerana PH kini tidak mempunyai modal untuk menjatuhkan pengaruh PN yang mendapat dukungan kuat masyarakat Melayu pada PRU15 lalu.
“Oleh itu, langkah pembunuhan karakter terhadap Sanusi dilaksanakan kerana beliau juga menjadi faktor penting kemenangan PN khususnya di Kedah.
“PAS Kedah yakin segala perjalanan pentadbiran dan pelaksanaan dasar negeri berada dalam landasan terbaik seiring dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035, malah hasrat ‘The Greater Kedah’ yang digagaskan beliau tidak mustahil akan direalisasikan kelak,” katanya.
Ahmad menegaskan, tekanan politik yang turut “dihempapkan” ke atas kerajaan Kedah menunjukkan kerajaan persekutuan membelakangi semangat Madani dalam erti kata sebenar.
Katanya, ia juga menunjukkan wajah dan sikap federalisme tempang yang mengundurkan negara ke era politik lapuk.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram