HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Tak puas hati dengan sekolah atau guru? Hubungi atau e-mel kementerian

-

Sistem pemberi maklumat Kementerian Pendidikan mula menerima aduan terhadap mana-mana kakitangan pendidikan di semua peringkat, termasuk sekolah dan guru.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Kementerian Pendidikan menyediakan talian hotline dan e-mel untuk menerima aduan mengenai kakitangan pendidikan, sekolah atau guru. (Gambar Rawpixel)

PUTRAJAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) mewujudkan sistem pemberi maklumat sendiri bagi menerima aduan orang ramai terhadap kakitangan pendidikan di semua peringkat, termasuk sekolah dan guru.

Butiran pemberi maklumat akan diklasifikasikan sangat sulit, kata KPM dalam pengumuman pada 12 April lalu.

Menurut KPM, aduan boleh dibuat terhadap mana-mana kakitangan kementerian, pejabat pendidikan negeri, daerah, guru atau sekolah. Notis itu juga merujuk ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun.

Notis itu memaklumkan, sesiapa saja yang mempunyai rungutan atau yang maklumat mengenai sebarang salah laku boleh menghantar e-mel, menghubungi talian hotline atau berjumpa pegawai diberi kuasa untuk bertindak atas aduan tersebut.

Katanya, langkah baharu yang dikenali sebagai Polisi Perlindungan KPM akan melindungi kakitangan atau orang awam yang membuat aduan mengenai sebarang salah laku jenayah, kesalahan tatatertib atau tindakan tidak wajar yang mereka hadapi ketika berurusan dengan pegawai KPM di semua peringkat.

“Walaupun kerajaan persekutuan mempunyai saluran aduan awam sendiri, KPM mengambil inisiatif melaksanakan dasar sendiri bagi tujuan ini.

“Ia bagi menggalakkan pemberi maklumat menyalurkan maklumat dan aduan terhadap kakitangan KPM di semua peringkat, terus kepada unit integriti dan pegawai bertanggungjawab. Ini juga untuk melindungi pemberi maklumat,” kata KPM dalam pengumuman itu.

Menurutnya, sebarang maklumat atau aduan melibatkan kakitangan dalam salah laku jenayah akan disampaikan kepada agensi penguatkuasaan berkaitan, yang mungkin berlaku, sedang berlaku atau sudah berlaku.

“Semua pengadu mesti memasukkan butiran peribadi dan hubungan mereka untuk melayakkan diri mendapat perlindungan di bawah polisi ini. Mereka yang mempunyai maklumat tidak lengkap tidak akan dilindungi. Bagaimanapun, keluhan mereka masih akan diterima dan disiasat,” katanya.

Bagaimanapun, aduan terhadap kes mahkamah sedang berjalan atau tindakan tatatertib tidak akan dilayan.

KPM turut memberi amaran kepada sesiapa saja supaya tidak membuat aduan berdasarkan berita palsu, dengan niat jahat untuk menjatuhkan orang lain, atau demi kepentingan sendiri terhadap individu diadukan.

Mereka yang mempunyai aduan atau maklumat boleh menghantar e-mel kepada whistleblower.ui@moe.gov.my atau hubungi 03-8884 7780/03-8884 7773.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.