
Bekas juruteknik yang hanya mahu dikenali sebagai Irwan berkata, pendapatannya merosot 50% kepada RM300 sejak Ramadan bermula disebabkan pesanan terhad pada waktu siang di sekitar kawasan berpenduduk Islam di Bandar Baru Bangi.
Penghantar makanan meraih pendapatan melalui jumlah penghantaran mereka.
Irwan, yang kini penghantar makanan sepenuh masa, berkata sepanjang dua minggu pertama Ramadan, beliau yang bekerja pada waktu siang kadangkala tiada pesanan diterima selepas tiga jam.
“Susah nak cari rezeki pada waktu siang. Bayangkan di sekitar Bangi, terdapat lebih 200 penghantar makanan, tetapi purata pesanan pada waktu siang sekitar 50,” katanya kepada FMT.
Seorang lagi penghantar makanan dikenali sebagai Syahmi berkata, beliau terpaksa bekerja sepanjang Ramadan pada tahun sebelumnya untuk mencari wang mencukupi bagi membuat persiapan meraikan Aidilfitri.
“Biasanya, kami terima purata 30 pesanan sehari. Kami boleh dapat jumlah sama sepanjang Ramadan, tetapi perlu kerja gila-gila sepanjang hari,” kata penghantar makanan selama dua tahun itu.
Tahun ini, anak sulung daripada tiga beradik itu mengambil keputusan meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga dan menggunakan simpanannya untuk perbelanjaan raya.
Syahmi berkata, beliau mahu menggunakan masa terluang untuk membantu ibu bapanya membuat persiapan menyambut Hari Raya.
Bagi ramai penghantar makanan yang merupakan pencari nafkah keluarga, mereka lebih tertekan akibat pesanan berkurangan.
Azhari (bukan nama sebenar) berkata, beliau tidak pulang ke kampung halamannya di Chuping, Perlis untuk beraya sejak 2020 akibat penularan Covid-19 dan pendapatan merosot ketika Ramadan.
Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, kekangan kewangan menyebabkan beliau terpaksa beraya dengan keluarganya sendiri di Cheras.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, semua pendapatannya sepanjang bulan ini digunakan untuk membeli pakaian baharu anaknya kerana kebahagiaan mereka merupakan keutamaannya.
“Saya tak beli sepasang pun Baju Melayu baharu untuk Aidilfitri dan tidak risau dengannya. Yang penting, anak-anak saya boleh pakai Baju Melayu dan Baju Kurung baharu untuk Aidilfitri.”
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram