HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Rumah terbuka berunsur politik? Sambil menyelam minum air, kata Puad

-

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu membidas MB Kedah yang menyifatkan langkah PM mengadakan rumah terbuka di enam negeri sebagai kempen PRN dan tidak wajar.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Puad Zarkashi (kiri) berkata, jika Sanusi Md Nor mendakwa penganjuran rumah terbuka ialah pembaziran, beliau tidak patut mengadakan sebarang rumah terbuka.

PETALING JAYA:
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zakarshi membidas Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor menyifatkan rumah terbuka Aidilfitri bersama perdana menteri di enam negeri sebagai kempen PRN.

Katanya, tujuan mengadakan rumah terbuka untuk membina perhubungan awam, iaitu memperluaskan hubungan dengan orang ramai.

“Sebab itu semua wakil rakyat dan menteri besar mengadakan rumah terbuka. Memang ada sedikit unsur politik dan kempen. Sambil menyelam sambil minum air. Apa salahnya?” katanya dalam catatan Facebook.

Dengan nada sindir, Puad mempelawa Sanusi menghadiri rumah terbuka itu.

“Sanusi pun boleh tumpang semangkuk. Dia boleh berdiri di sebelah perdana menteri dari pagi sampai petang. Dia boleh bersalam dengan semua pengunjung. Lagi ramai datang, lagi bagus.”

Semalam, Sanusi dilaporkan berkata, mengadakan rumah terbuka sedemikian melibatkan kos tinggi, sedangkan Putrajaya menguar-uarkan langkah penjimatan dengan tidak mangadakan acara besar-besaran.

Beliau berkata, pemimpin persekutuan sepatutnya mengekalkan tradisi lama dengan mengadakan rumah terbuka Aidilfitri kediaman perdana menteri di Seri Perdana atau sekitar Putrajaya seperti kelaziman.

Puad berkata, jika Sanusi mahu berjimat cermat, beliau tidak patut mengadakan sebarang rumah terbuka kerana mungkin orang sama akan hadir.

Sementara itu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata keputusan mengadakan rumah terbuka jauh dari Putrajaya ialah usaha kerajaan persekutuan mendekati rakyat dan kepimpinan negeri lain, serta tiada kaitan dengan PRN di enam negeri.

“Bukan semua orang dari negeri (lain) dapat berkunjung ke rumah terbuka ini jika ia diadakan di Seri Perdana, Putrajaya. Maka, pilihan dibuat Perdana Menteri, Anwar Ibrahim adalah untuk mendekati dan meraikan sebanyak mungkin rakyat.

“Malah, banyak acara peringkat kebangsaan juga dirancang diadakan di luar Putrajaya bagi mencapai hasrat menguatkan kerjasama (dengan negeri lain, termasuk dipimpin pembangkang) ini,” katanya menurut Bernama.

Semalam, jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, rumah terbuka Aidilfitri akan diadakan di Kedah pada 29 April ini, Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (21 Mei), Terengganu (13 Mei) dan Selangor (14 Mei).

Enam negeri ini akan mengadakan PRN selepas Jun nanti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.