![Free Malaysia Today](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2021%2F04%2Fmalim1_1.jpg&w=3840&q=75)
PETALING JAYA: Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami sindrom akut gunung (AMS) ketika mendaki Gunung Kinabalu bersama isterinya pagi semalam.
Alexzander Kueh Check Boo, 45, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Ranau.
Pendaki itu disahkan meninggal dunia selepas dibawa turun ketika mendaki gunung bersama isterinya yang turut mengalami AMS dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Christina Liew berkata, mendiang bersama isterinya mula mendaki puncak Gunung Kinabalu pada Isnin dan tiba di Panalaban, namun dipercayai mengalami AMS.
Katanya, kejadian bermula apabila isteri mendiang mengadu sakit kepala dan sesak nafas kira-kira 9 malam.
“Pasukan Bomba Bantuan Mencari dan Menyelamat di Gunung (Mosar) sudah memberikan oksigen sebagai pertolongan cemas, tetapi pasukan penyelamat memutuskan untuk mengusungnya ke Timpohon Gate pada 10 malam untuk dibawa ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, selang empat jam kemudian iaitu dua kilometer dari Timpohon Gate, mendiang pula mengalami kesukaran bernafas dan kekejangan otot.
“Mendiang turut diusung ke Timpohon dan dibawa ke hospital yang sama, namun disahkan meninggal dunia pada pukul 4.30 pagi,” katanya dalam kenyataan lapor Kosmo.
Christina berkata, pihaknya sudah memaklumkan Taman-Taman Sabah (TTS) yang terletak di bawah kementeriannya untuk membantu keluarga mangsa.
Katanya, keadaan isteri mendiang juga stabil selepas sembuh daripada AMS.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram