HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

PSI: Anwar nafi enggan layan komuniti terkesan, minta biar proses berjalan

-

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkat beliau sudah kemukakan beberapa kebimbangan berhubung projek penambakan Pulau Pinang Selatan.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today

SUNGAI BULOH:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim nafi dakwaan enggan melayan komuniti yang terkesan dengan projek penambakan Pulau Pinang Selatan, kerana beliau sudah kemukakan beberapa kebimbangan mengenainya.

Beliau berkata projek tersebut masih harus melepasi proses tertentu sebelum dimuktamadkan, dan sementara itu semua pihak disaran meneliti laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) berkaitan yang diluluskan Jabatan Alam Sekitar baru-baru ini.

“JAS memberi kelulusan pada prinsipnya dengan 71 syarat. Jadi kita telitilah. Saya sudah kemukakan beberapa kebimbangan terutama pihak nelayan dan penduduk setempat yang berbilang kaum, dan biarkan proses ini berjalan terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita seusai solat Jumaat di Paya Jaras.

Anwar memberi jaminan bantahan komuniti terkesan akan didengar dan mahu kerajaan negeri memberikan kejelasan.

“Kalau mereka mahu kemukakan bantahan, kita akan dengar, dan kerajaan negeri juga akan berikan penjelasan,” katanya.

Selepas kerajaan negeri mengumumkan EIA bagi PSI diluluskan, Persatuan Nelayan Pulau Pinang dilapor kecewa hak nelayan gagal dipertahankan dan usaha bertemu Anwar bagi membincangkan projek tersebut ‘tidak dilayan’.

Anwar ketika bertemu komuniti di Permatang Damar Laut pada Julai 2019 dilapor berkata beliau akan bertemu Ketua Menteri Chow Kon Yeow untuk membincangkan isu tebus guna tanah dan mencari penyelesaian kepada kemelut yang dihadapi nelayan.

Kelmarin, Sahabat Alam Malaysia menggesa JAS mendedahkan kepada umum alasan meluluskan EIA bagi PSI termasuk 71 syarat yang dikenakan, sambil berkata ia kecewa dengan kerajaan baharu yang dilihat tidak mengendahkan bantahan komuniti nelayan.

Chow mempertahankan kelulusan itu dengan berkata kerajaan negeri patut dibenarkan untuk membuktikan ia boleh mematuhi syarat-syarat JAS. Dilaporkan kelulusan EIA oleh JAS Putrajaya itu dimaklumkan kepada setiausaha kerajaan negeri pada 11 April lalu, dan Chow menyeru pihak yang ingin mengetahui 71 syarat itu supaya merujuk Penang Infrastructure Corporation (PIC).

Projek itu sebelum ini mendapat tentangan hebat daripada nelayan, pencinta alam sekitar, dan kumpulan pesara kerajaan G25 atas kebimbangan ia akan menjejaskan ekosistem marin. Projek penambakan PSI bernilai RM10 bilion inisiatif kerajaan negeri untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion, melalui penambakan tiga pulau seluas 1,620ha di luar Permatang Damar Laut.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, ketika dihubungi semalam mengingatkan luahan nelayan perlu didengari kerana mereka pemegang taruh utama dalam projek tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.