
Perkara ini terbongkar berikutan penahanan sepasang suami isteri rakyat tempatan, dipercayai dalang sindiket itu, pada 11 April lepas. Sindiket itu dipercayai mengenakan bayaran antara €30,000 (kira-kira RM146,000) dan €50,000 untuk mendapatkan pasport Malaysia bagi kanak-kanak.
“Siasatan awal menunjukkan, pelanggan sindiket itu memilih untuk mendapatkan pasport Malaysia bagi kanak-kanak kerana pemegangnya tidak memerlukan visa untuk melawat negara Eropah, tidak seperti pemegang pasport Sri Lanka,” kata jurucakap Jabatan Imigresen kepada FMT.
Pemegang pasport Malaysia boleh memasuki 179 negara tanpa visa.
Jurucakap Jabatan Imigresen itu berkata, kanak-kanak dari Sri Lanka itu bukan diseludup ke Eropah untuk dijual, sebaliknya dengan pengetahuan bapa mereka yang menemani mereka ke Malaysia.
“Ibu bapa (di Sri Lanka) cuba menyeludup anak mereka ke Eropah demi kehidupan yang lebih baik,” kata jurucakap itu.
Masalah politik dan ekonomi yang menyelubungi Sri Lanka menyebabkan ramai yang warganya meninggalkan negara untuk mengejar kehidupan yang lebih baik.
Menurut laporan News Decoder yang berpangkalan di Perancis, lebih 300,000 warga Sri Lanka meninggalkan negara itu tahun lepas selepas mendapat pekerjaan di luar negara.
Pasangan itu ditahan selepas pegawai imigresen yang memproses permohonan pasport untuk seorang kanak-kanak mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila penjaga ketara kelihatan berbeza dengan kanak-kanak itu, yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu.
Jurucakap itu berkata, isteri bos sindiket itu akan pergi ke Sri Lanka untuk bertemu bakal pelanggan dan anak-anak mereka.
Menurutnya, kanak-kanak terbabit dan bapa mereka akan memasuki Malaysia bersama-sama sebagai pelancong, kemudian tinggal di negara ini selama beberapa minggu sebelum permohonan dibuat untuk mendapatkan pasport bagi kanak-kanak itu.
Dilaporkan bahawa sindiket itu akan membayar sekitar RM500 kepada ibu bapa miskin di Malaysia yang mempunyai anak berusia bawah 12 tahun agar sijil kelahiran anak mereka dapat digunakan untuk memohon pasport bagi kanak-kanak Sri Lanka terbabit.
Semasa proses permohonan di pejabat imigresen, kanak-kanak Sri Lanka itu akan diambil cap jari dan gambarnya.
Pasangan itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 19 April.
Jabatan Imigresen sedang menjejaki rangkaian sindiket dan pelanggan terdahulunya untuk menentukan sama ada mereka berasal selain dari Sri Lanka.
Menurut Indeks Pasport Henley, pasport Malaysia adalah yang ke-14 paling berkuasa di dunia.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram